Penunggang motosikal baling sepana ditahan

Keadaan cermin belakang kereta jenis Toyota Vellfire yang pecah selepas dilempar menggunakan sepana oleh seorang penunggang motosikal dalam kejadian di Jalan Kuching di sini pada Isnin.
Keadaan cermin belakang kereta jenis Toyota Vellfire yang pecah selepas dilempar menggunakan sepana oleh seorang penunggang motosikal dalam kejadian di Jalan Kuching di sini pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis telah menahan seorang lelaki yang disyaki menunggang motosikal secara berbahaya dan bertindak membaling sepana ke arah sebuah kenderaan di Jalan Kuching, di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, lelaki warga tempatan berusia 38 tahun itu ditahan di Taman Wangsa Melawati pada Jam 3.30 petang Selasa.

"Hasil semakan, suspek tiada rekod kesalahan lampau, kita akan memohon reman esok bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada Selasa, Eng Lai memaklumkan kejadian berlaku ketika mangsa sedang memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dan sebuah motosikal telah memotong dari arah kanan kenderaan itu secara berbahaya.

"Terkejut dengan tindakan penunggang motosikal itu, mangsa telah membunyikan hon sebagai tanda amaran," katanya.

Eng Lai berkata, suspek kemudiannya menunjukkan isyarat lucah gara-gara tidak berpuas hati dengan tindakan pemandu MPV itu.

"Mangsa bagaimanapun tidak melayan tindakan suspek dan meneruskan pemanduan. Namun secara tiba-tiba penunggang motosikal tersebut telah membaling sepana sehingga menyebabkan cermin belakang kenderaan itu pecah," katanya.

Beliau berkata, kejadian berkenaan dirakam oleh pemandu kenderaan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat," katanya.

Justeru beliau memohon kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat berkenaan kejadian itu kepada pihak polis dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul 03-40482206.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang," katanya.