Aksi 'Superman' ragut nyawa penunggang motosikal

A
A
A

TEMERLOH - Konvoi sekumpulan motosikal berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas motosikal ditunggangi hilang kawalan lalu dilanggar sebuah kereta di Kilometer 94.8 Lebuhraya Pantai Timur (arah Kuala Lumpur) pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 malam itu, mangsa iaitu seorang lelaki berusia 21 tahun meninggal dunia semasa dirawat di wad kecemasan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, berdasarkan siasatan yang dijalankan, mangsa sedang berkonvoi bersama sekumpulan motosikal dalam perjalanan dari arah Temerloh menghala Kuala Lumpur.

Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian, penunggang motosikal terbabit telah hilang kawalan dan terjatuh di lorong kanan.

"Pada masa sama, datang sebuah kereta yang dipandu lelaki berusia 24 tahun telah melanggar mangsa.

"Akibat pelanggaran tersebut, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan tangan sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

"Pada jam kira-kira 2 pagi (Sabtu), mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia semasa dirawat di hospital," kata beliau dalam kenyataan pada Sabtu.

Ujar beliau, siasatan mendapati penunggang tersebut hilang kawalan kerana menunggang secara berbahaya dengan melakukan aksi 'Superman' dan 'zig-zag' berdasarkan keterangan saksi kejadian.

Tambah Mohd Azhar, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

"Orang ramai atau mana-mana individu yang melihat kejadian tersebut diseru untuk tampil ke balai polis berhampiran atau boleh hubungi talian 09-2716086 bagi membantu siasatan.

"Semua pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal dinasihatkan supaya tidak menjadikan lebuh raya sebagai litar lumba sehingga boleh mendatangkan bahaya dan kehilangan nyawa sendiri serta pengguna lain," tambah beliau.