Tak puas hati dihon, penunggang motosikal baling sepana

Keadaan cermin belakang kereta jenis Toyota Vellfire yang pecah selepas dilempar menggunakan sepana oleh seorang penunggang motosikal dalam kejadian di Jalan Kuching di sini pada Isnin.
Keadaan cermin belakang kereta jenis Toyota Vellfire yang pecah selepas dilempar menggunakan sepana oleh seorang penunggang motosikal dalam kejadian di Jalan Kuching di sini pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis sedang mengesan seorang penunggang motosikal yang menunggang secara berbahaya dan bertindak membaling sepana ke arah sebuah kereta di Jalan Kuching di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki pada jam 4 petang mengenai kejadian itu.

"Ketika mangsa sedang memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire, ada sebuah motosikal telah memotong dari arah kanan kenderaan itu secara berbahaya.

"Terkejut dengan tindakan penunggang motosikal itu, mangsa telah membunyikan hon sebagai tanda amaran," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Eng Lai berkata, suspek kemudiannya menunjukkan isyarat lucah gara-gara tidak berpuas hati dengan tindakan pemandu MPV itu.

"Mangsa bagaimanapun tidak melayan tindakan suspek dan meneruskan pemanduan. Namun secara tiba-tiba penunggang motosikal tersebut telah membaling sepana sehingga menyebabkan cermin belakang kenderaan itu pecah," katanya.

Beliau berkata, kejadian berkenaan dirakam oleh pemandu kenderaan tersebut.

"Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru beliau memohon kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat berkenaan kejadian itu kepada pihak polis dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul 03-40482206.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang," katanya.