'Kiev tidak gentar hadapi provokasi Moscow'

Zelenskyy 'masih bertenang' hadapi provokasi terbaharu Rusia. - Foto Agensi
Zelenskyy 'masih bertenang' hadapi provokasi terbaharu Rusia. - Foto Agensi
A
A
A

KIEV - Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy pada Selasa menegaskan rakyatnya 'tidak takut' selepas Rusia mengiktiraf kemerdekaan dua wilayah pemisah selain menempatkan 'misi pengaman' kononnya untuk mengekalkan keamanan di timur negara itu.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika sesi mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengenai krisis Ukraine selepas Barat menyifatkan pengumuman dibuat Presiden Rusia, Vladimir Putin sebagai 'pelanggaran tanpa provokasi terhadap kedaulatan dan integriti Kiev.

Zelenskyy turut menuduh Moscow sengaja menjejaskan usaha diplomatik untuk menyelesaikan pertempuran semakin sengit di Donbass.

"Keputusan Putin untuk mengiktiraf Republik Donetsk dan Lugansk jelas melanggar perjanjian yang dirundingkan di Minsk. Semua tanggungjawab akibat keputusan melulu ini terletak pada kepimpinan politik Kremlin," tegasnya.

Beliau turut cuba meredakan kebimbangan rakyat negara itu setelah propaganda perang tentang kempen pencerobohan Rusia dilancarkan secara beberapa minggu lalu.

"Kita boleh bezakan dengan jelas antara provokasi dan pencerobohan tentera.

Kebenaran berpihak kepada kita dan kami tidak akan menyembunyikan perihal yang benar kepada anda.

"Kami akan maklumkan kepada anda perkembangan situasi ini sebaik sahaja melihat jika terdapat peningkatan risiko.

"Tidak ada sebab untuk panik dan mengambil tindakan secara semberono atau anda tidak dapat tidur nyenyak pada malam ini kerana bimbang Moscow mungkin akan melancarkan serangan," jelasnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, tentera Rusia mendakwa ia telah menembak mati lima anggota tentera Ukraine yang cuba menyusup masuk ke wilayah Rostov-on-Don di selatan Moscow.

Kiev bagaimanapun menafikan dakwaan berita palsu tersebut dan menegaskan tiada anggota tentera mereka yang melintasi sempadan atau terkorban akibat konflik yang semakin meningkat itu. - Agensi