Remaja hanya mampu menangis rumah dilanda ribut

Ahnaf Mah Batttisyia melihat bukunya yang basah terkena hujan selepas bumbung rumah di Kampung Tanah Merah tercabut dalam kejadian ribu pada Isnin lalu.
Ahnaf Mah Batttisyia melihat bukunya yang basah terkena hujan selepas bumbung rumah di Kampung Tanah Merah tercabut dalam kejadian ribu pada Isnin lalu.
A
A
A

MELAKA - Seorang remaja hanya mampu menangis selepas rumah keluarganya dilanda ribut hingga menyebabkan separuh bumbung rumah tercabut di Kampung Tanah Merah, Krubong di sini pada lewat petang Isnin.

Ahnaf Mah Batttisyia Kamarul Arif, 13, berkata, ketika kejadian jam 6.30 petang itu, dia bersama ibu, adik serta kakak berada di rumah manakala ayahnya mengajar di Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Rambai.

"Kami adik-beradik menangis ketakutan apabila dengar bunyi kuat dari bumbung sebelum lari ke rumah nenek yang terletak bersebelahan."Kami pergi ke rumah nenek kerana bimbang keadaannya yang tinggal bersendirian selain terpaksa bergerak menggunakan tongkat," katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.

Tambahnya, apabila keadaan reda, mereka pulang semula ke rumah dan terkejut melihat ruang tamu dan bilik tidur dibasahi hujan kerana bumbung telah tercabut.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Shahrudin Rahman, 51, berkata, dia nampak seakan-akan puting beliung dari arah sawah, sebelum bumbung rumah kakak yang terletak di hujung kawasan berkenaan diterbangkan angin sejauh kira-kira 50 meter.

Keadaan bumbung rumah kakak Shahrudin yang turut mengalami kerosakan selepas dilanda ribut.
Keadaan bumbung rumah kakak Shahrudin yang turut mengalami kerosakan selepas dilanda ribut.

"Beberapa kali saya melaungkan azan, keadaan berlaku begitu pantas hinggakan tiga cucu saya berusia antara lima hingga dua tahun menangis.

"Saya kemudian minta cucu berlindung bawah meja dan syukur tiada yang cedera termasuk anak sulung yang sedang mengandung lima bulan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi pekerja swasta, Mohammad Amin Berahim, 43, kejadian ribut itu merupakan kali kedua melanda kawasan berkenaan sejak 16 tahun lalu.

"Kami bersyukur kayu bumbung rumah jiran yang diterbangkan angin tidak terkena ahli keluarga termasuk ibu yang berusia 80 tahun," katanya yang menganggarkan kerugian dialami akibat kerosakan bumbung rumah kira-kira RM5,000.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan kira-kira 70 buah rumah di dua daerah di sini terjejas akibat ribut susulan hujan lebat lewat petang Isnin.

Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, kawasan terjejas termasuk Krubong, Lanjut Manis, Tanah Merah, Sungai Badau dan Kampung Ladang di daerah Melaka Tengah serta Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal di daerah Alor Gajah.