70 rumah terjejas akibat ribut

Radzi ketika menceritakan kejadian menimpa mereka sekelurga di Kampung Bimbing Dalam di sini, pada Isnin.
Radzi ketika menceritakan kejadian menimpa mereka sekelurga di Kampung Bimbing Dalam di sini, pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Kira-kira 70 buah rumah di dua daerah di sini terjejas akibat ribut susulan hujan lebat lewat petang Isnin.

Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, kawasan terjejas termasuk Krubong, Lanjut Manis, Tanah Merah, Sungai Badau dan Kampung Ladang di daerah Melaka Tengah serta Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal di daerah Alor Gajah.

Mangsa, Rahmat Alus, 51, berkata, bencana itu mengakibatkan lebih separuh bumbung rumah tercabut dan beberapa keping atap diterbangkan angin hingga sejauh 50 meter.

Dia hanya mampu beristigfar dan melaungkan azan, dua anak buahnya turut menangis ketakutan.

"Memang terkejut, kejadian berlaku begitu pantas ketika kami enam beranak duduk di anjung rumah.

"Nasib baik ahli keluarga termasuk ibu berusia 80-an tidak mengalami kecederaan dan dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Belimbing Dalam," katanya sudah lebih 30 tahun menetap di kampung itu.

Radzi Yakob, 31, berkata, kejadian pertama kali yang berlaku di rumahnya menyebabkan dia nyaris dihempap bumbung rumah dan serpihan batu bata.

Menurutnya, ketika itu dia berada di luar rumah untuk mengangkat pakaian di ampaian sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat.

Artikel Berkaitan:

"Hanya beberapa saat sebelum saya masuk rumah, tiba-tiba bumbung rumah runtuh dan bernasib baik tidak terkena saya.

"Bukan sahaja bilik dan dapur yang mengalami kerosakan malah bengkel saya membuat kek turut terjejas dan beberapa barang mentah membuat kek juga rosak terkena hujan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, setakat ini sebanyak 12 mangsa dari tiga keluarga telah dipindahkan ke PPS Kampung dan pihaknya masih mengenal pasti mangsa yang terjejas.

"Turut terjejas Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam," katanya.