Bekas Naib Presiden Warisan umum nama parti baharu dikenali KDM

Peter menunjukkan dokumen berhubung pendaftaran parti KDM yang diluluskan RoS sebaik tiba di KKIA, Kota Kinabalu.
Peter menunjukkan dokumen berhubung pendaftaran parti KDM yang diluluskan RoS sebaik tiba di KKIA, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Bekas Naib Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Peter Anthony mengumumkan parti baharu yang ditubuhkannya akan dikenali parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Peter yang juga protem presiden parti itu berkata, parti itu dikenali sebagai KDM dan akan dilancarkan pada 13 Mac depan di Kota Kinabalu.

"Parti telah berjaya didaftarkan dan diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) pada 18 Februari lalu.

"Jadi terjawablah segala dakwaan yang mengatakan parti ini tidak dapat diluluskan tetapi akhinya ia telah diluluskan," katanya ketika ditemui pemberita sebaik tiba dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, pada Isnin.

Menurutnya, senarai barisan kepimpinan parti sudah ada ketika ini dan akan diumumkan pada hari pelancaran parti.

"Antaranya Timbalan Presiden, Datuk Nuil Nuatim dan Setiausaha Agung, Dr Gaim @ James Lunkapis," katanya.

Katanya, parti itu akan memohon untuk bergabung di bawah GRS kerana kerjasama di peringkat Sabah ini penting untuk pembangunan Sabah.

"Kita akan majukan permohonan bersama-sama dengan GRS untuk bekerjasama termasuk juga dengan parti yang sedang berada di dalam gabungan seperti Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan semua gabungan yang ada di dalam parti gabungan kerajaan negeri Sabah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu turut menegaskan bahawa parti baharunya itu akan fokus kepada rakyat Sabah sahaja.

"Parti ini melibatkan ahli berbilang kaum, yang penting mereka ini adalah orang Sabah yang disertai oleh orang Sabah saja.

"Lebih baik kita fokus kepada masalah di Sabah ini daripada kita fokus masalah luar," katanya.

Peter sebelum ini mengumumkan keluar Warisan pada Disember lalu dan menubuhkan parti baharu mesra GRS.