Tiada halangan bazar Ramadan di masjid

Saarani (kanan) ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Rangkaian Infrastruktur Jalur Lebar Allo Technology Peringkat Negeri Perak di Hotel Casuarina @ Meru, pada Isnin.
Saarani (kanan) ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Rangkaian Infrastruktur Jalur Lebar Allo Technology Peringkat Negeri Perak di Hotel Casuarina @ Meru, pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak tidak menghalang penganjuran bazar Ramadan di dalam kawasan masjid pada tahun ini seperti mana tahun sebelumnya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagaimanapun sebarang kebenaran mesti dipersetujui oleh jawatankuasa masjid berkenaan.

Menurutnya, dalam masa sama, peniaga juga perlu mendapatkan lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum menjalankan perniagaan.

"Kita sebenarnya tidak mempunyai masalah untuk membenarkan asalkan dipersetujui oleh jawatankuasa masjid dan kena ada lesen yang perlu diperoleh daripada PBT.

"Kesesuaian lokasi juga perlu ditentukan oleh pihak jawatankuasa masjid," katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Rangkaian Infrastruktur Jalur Lebar Allo Technology Peringkat Negeri Perak di Hotel Casuarina @ Meru, di sini pada Isnin.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Hasan Arifin; Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din serta Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed.

Dalam perkembangan lain, Saarani menjelaskan kerajaan negeri sudah membatalkan tender penjualan Istana Raja Muda di Teluk Intan.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas kerajaan negeri menerima bantahan daripada pelbagai pihak yang tidak bersetuju dengan penjualan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Saarani pada 19 September tahun lalu memaklumkan kerajaan negeri akan melihat semula isu berhubung jualan secara tender terbuka kawasan bangunan istana lama yang dikenali Istana Raja Muda di Jalan Syed Abu Bakar di Teluk Intan.

Menurutnya, perkara itu akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berikutan keputusan itu dibuat tahun lalu.

Bagaimanapun pada 22 September, kerajaan negeri Perak bersetuju menangguhkan penjualan secara tender terbuka tanah Istana Raja Muda Perak itu.