Sindiket edar rokok seludup lebih RM1 juta tumpas

PDRM berjaya merampas sebanyak 4,980 karton rokok dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Seremban, Negeri Sembilan.
PDRM berjaya merampas sebanyak 4,980 karton rokok dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Seremban, Negeri Sembilan.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas sebanyak 4,980 karton rokok seludup dianggarkan bernilai lebih RM1 juta dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Permai 3, Seremban, Negeri Sembilan pada Ahad.

Komander Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, sindiket berkenaan menyasarkan buruh binaan warga asing di sekitar Seremban sebagai pelanggan utama mereka.

"Serbuan ini telah berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar Seremban yang menjadikan kediaman di kawasan perumahan sebagai stor penyimpanan.

"Sindiket ini dipercayai telah menjalankan aktiviti pengedaran dan penjualan rokok tidak bercukai selama setahun dan menjadikan warga asing yang bekerja di tapak-tapak pembinaan sebagai pelanggan sasaran.

"Serbuan yang dijalankan berjaya merampas 4,980 karton atau 887,600 batang rokok pelbagai jenama," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, polis turut menahan seorang lelaki tempatan dipercayai anggota sindiket terbabit dalam serbuan sekitar jam 4.45 petang itu.

Katanya, pasukan serbuan merampas sebuah kereta jenis Toyota Vios dan sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti pengedaran rokok berkenaan.

"Jumlah keseluruhan anggaran nilai rampasan adalah sebanyak RM1,114,374.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967," katanya.