Provokasi baharu Rusia

Putin bersama Lukashenko (kiri) ketika mengawasi latihan ujian misil balistik sebagai sebahagian latihan Grom-2022 Strategic Deterrence Force pada Sabtu. - Foto: Agensi
Putin bersama Lukashenko (kiri) ketika mengawasi latihan ujian misil balistik sebagai sebahagian latihan Grom-2022 Strategic Deterrence Force pada Sabtu. - Foto: Agensi
A
A
A

MOSCOW – Pasukan nuklear strategik Rusia mengadakan latihan yang turut diawasi Presiden Vladimir Putin pada Sabtu selepas Amerika Syarikat (AS) menuduh Moscow mengerahkan lebih ramai anggota tentera ke sempadan Ukraine sebagai persediaan untuk melancarkan serangan.

Ujian pelancaran misil balistik cruise dan hipersonik ke laut itu turut disaksikan Putin bersama sekutunya, Presiden Belarus, Alexander Lukashenko dari pusat situasi.

Latihan ujian nuklear yang disifatkan sebagai tindakan provokasi baharu itu diadakan selepas Kremlin menempatkan kira-kira 150,000 anggota tentera dan peralatan ketenteraan berskala besar di kawasan sempadan utara, timur dan selatan Kiev sejak empat bulan lalu.

Ketika kebimbangan semakin meningkat, para menteri luar G7 menegaskan mereka tidak melihat sebarang bukti Moscow telah mengurangkan aktiviti ketenteraan mereka.

"Kami tidak melihat usaha Rusia untuk meredakan ketegangan tersebut," ujar mereka dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy turut meluahkan rasa kecewa ketika persidangan keselamatan di Munich.

Beliau juga menggesa anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), Jerman dan Turki untuk mengadakan pertemuan bagi merangka jaminan keselamatan baharu untuk Kiev yang kini semakin terancam.

"Peraturan yang dipersetujui beberapa dekad lalu tidak lagi berfungsi. Ia tidak lagi efektif untuk diguna pakai pada masa ini," tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Sebagai usaha menyokong Ukraine, Presiden Bank Dunia, David Malpass memaklumkan ia akan menyediakan pembiayaan berjumlah AS$350 juta (RM1.5 bilion) kepada Kiev yang akan dipertimbangkan anggota lembaga pada akhir bulan depan untuk menyokong pembaharuan negara bekas Kesatuan Soviet tersebut. - Agensi