Gelombang protes Iran terus memuncak

Protes besar-besaran di Iran masuk hari kesembilan dengan lebih 20 kematian, hampir 1,000 ditahan - Foto: Agensi
Protes besar-besaran di Iran masuk hari kesembilan dengan lebih 20 kematian, hampir 1,000 ditahan - Foto: Agensi
A
A
A

TEHERAN - Gelombang protes di Iran telah memasuki hari kesembilan ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengulangi ancaman untuk campur tangan.

Tunjuk perasaan sejak 28 Disember itu dicetuskan kejatuhan mata wang dan kenaikan kos sara hidup telah merebak ke kira-kira 78 bandar serta 222 lokasi.

Demonstran turut menuntut pengunduran pemerintahan sekarang kerana didakwa gagal menangani masalah ekonomi yang membebani rakyat.

Demonstrasi diteruskan meskipun berdepan tindakan kekerasan pasukan keselamatan setelah pemerintah melabel kumpulan protes itu sebagai 'perusuh'.

Sejak lebih seminggu lalu, sekurang-kurangnya 20 kematian direkodkan dan hampir 1,000 termasuk golongan bawah umur telah diberkas.

Salah seorang peserta protes di daerah Malekshahi di Ilam barat Iran memberitahu, seluruh bandar kini bergema dengan laungan slogan antikerajaan selain menuntut pembebasan rakan penunjuk perasaan lain.

"Kami hanya berhimpun di hadapan bangunan kerajaan. Tetapi, pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah kami, seperti menyasarkan musuh atau kumpulan bersenjata.

"Ia benar-benar seperti zon perang dan saya melihat sendiri beberapa orang cedera dan mungkin terbunuh," kata saksi.

Rakaman yang jadi tular di media sosial juga mendakwa sebuah hospital di bandar Ilam yang merawat mangsa cedera diserbu pasukan keselamatan hingga mengundang kecaman kumpulan hak asasi manusia.

Artikel Berkaitan:

Sekurang-kurangnya 20 kematian direkodkan dan hampir 1,000 termasuk golongan bawah umur telah diberkas. - Foto Agensi
Sekurang-kurangnya 20 kematian direkodkan dan hampir 1,000 termasuk golongan bawah umur telah diberkas. - Foto Agensi

Amaran kepada ejen asing

Pada Isnin, Speaker Parlimen Iran, Mohammad Baqer Qalibaf berkata, 'tuntutan sah' penunjuk perasaan wajar didengari dan dijadikan asas kepada perubahan.

Tetapi, beliau memberi amaran terhadap mana-mana ejen asing dan penentang yang cuba mengeksploitasi siri demonstrasi tersebut.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar, Esmail Baqai mendakwa Israel cuba mengambil peluang untuk melemahkan perpaduan negara tersebut setelah Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dengan lantang menzahirkan solidariti terhadap perjuangan rakyat Iran.

"Kenyataan Netanyahu dan segelintir pegawai radikal Amerika hanya sekadar hasutan keganasan," ujarnya.

Gelombang protes itu sudah berlarutan lebih seminggu dan tiada tanda akan reda dalam masa terdekat. - Foto Agensi
Gelombang protes itu sudah berlarutan lebih seminggu dan tiada tanda akan reda dalam masa terdekat. - Foto Agensi

Demonstrasi itu tercetus selepas golongan peniaga berarak di jalan utama sekitar ibu kota untuk meluahkan kemarahan terhadap satu lagi kejatuhan mendadak nilai mata wang Iran berbanding dolar AS.

Nilai mata wang rial telah merudum ke paras terendah dan inflasi meningkat kepada 40 peratus dek siri sekatan ke atas program nuklear yang memberi tekanan besar kepada ekonomi.

Ia kemudiannya disertai kumpulan penuntut universiti sebelum berlanjutan ke bandar-bandar lain.

Protes tersebut merupakan yang terbesar sejak 2022 ketika demonstrasi ganas membantah kematian Mahsa Amini dalam tahanan pihak berkuasa setelah mangsa diberkas polis moral kerana tidak memakai tudung dengan sempurna.

Ketika itu, ratusan terkorban manakala ribuan ditahan di bawah tindakan kekerasan pasukan keselamatan. - Agensi

 

 

Ringkasan AI

  • Gelombang protes di Iran berlanjutan ke hari kesembilan dengan ancaman campur tangan dari Donald Trump
  • Protes yang bermula pada 28 Disember menyebar ke 78 bandar akibat jatuhnya mata wang dan kenaikan kos hidup
  • Demonstran menuntut pengunduran pemerintah kerana gagal atasi masalah ekonomi
  • Sekurang-kurangnya 20 terbunuh dan hampir 1,000 ditahan sepanjang lebih seminggu protes
  • Speaker Parlimen Iran menyatakan tuntutan penunjuk perasaan wajar didengar sedangkan jurucakap Kementerian Luar menuduh Israel mengambil peluang dalam demonstrasi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!