Greenland sasaran AS seterusnya selepas Venezuela?

Greenland kembali jadi tumpuan AS atas alasan untuk mengukuhkan keselamatan dan kepentingan strategik mereka di Artik. - Foto Agensi
Greenland kembali jadi tumpuan AS atas alasan untuk mengukuhkan keselamatan dan kepentingan strategik mereka di Artik. - Foto Agensi
A
A
A

COPENHAGEN – Greenland kini berasa semakin terancam susulan pencerobohan tidak dijangka ke atas Venezuela, yang menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan wilayahnya serta kemungkinan tercetus konflik yang lebih besar.

Susulan ancaman yang dianggap nyata, Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen memberi amaran bahawa sebarang langkah provokasi ke atas Nuuk boleh menghancurkan hubungan keselamatan transatlantik yang telah terjalin selama lapan dekad.

“Jika Amerika Syarikat (AS) berkeras mahu melancarkan operasi ketenteraan ke atas sebuah lagi negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), segala kesepakatan akan berakhir, termasuk perjanjian keselamatan pasca Perang Dunia Kedua,” katanya.

Pada akhir minggu lalu, Presiden AS, Donald Trump sekali lagi mengulangi keinginannya untuk mengilhak wilayah Artik itu, yang kaya dengan sumber mineral termasuk deposit nadir bumi yang masih belum diterokai.

‘Rampasan kuasa tidak sah’ yang didakwa dilancarkan Washington sekali lagi mencetuskan kegusaran terhadap rancangan Trump untuk memiliki wilayah autonomi milik Copenhagen itu.

“Kami memerlukan Greenland dari sudut keselamatan negara dan Denmark tidak berupaya mempertahankannya. Kami akan memikirkan tentang Nuuk dalam tempoh dua bulan lagi,” ujar Trump pada Ahad.

Sebagai reaksi balas, Perdana Menteri Greenland, Jens-Frederik Nielsen menzahirkan bantahan keras terhadap kenyataan Trump, manakala beberapa negara Eropah menyatakan sokongan kepada Copenhagen dan menggesa Washington supaya menghentikan ugutan terhadap sekutu NATO.

“Kita bukan dalam situasi di mana pengambilalihan sesebuah negara boleh berlaku sekelip mata. Anda tidak boleh bandingkan Greenland dengan Venezuela. Kami merupakan negara demokrasi.

“Hentikan saja provokasi ini. Tiada lagi tekanan, tiada lagi sindiran dan fantasi untuk mengilhak Nuuk. Kami terbuka untuk berdialog, namun ia perlu dilakukan melalui saluran yang betul dan dengan menghormati undang-undang antarabangsa,” tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Nielsen turut mencadangkan agar hubungan bersama Washington diperbaharui dan menyeru orang ramai supaya bertenang, sambil memberi jaminan bahawa AS tidak akan dapat ‘menakluk’ Greenland.

Difahamkan, Nuuk menjadi rebutan Washington kerana lokasinya yang strategik – terletak di laluan paling singkat untuk pelancaran peluru berpandu antara Rusia.

– Agensi

Ringkasan AI

  • Greenland berasa terancam susulan pencerobohan tidak dijangka ke atas Venezuela
  • Perdana Menteri Denmark memberi amaran langkah provokasi ke atas Nuuk boleh mengancam hubungan keselamatan transatlantik
  • Donald Trump mengulangi keinginan untuk mengilhak Greenland yang kaya dengan mineral
  • Perdana Menteri Greenland dan beberapa negara Eropah bantah keras kenyataan Trump
  • Nuuk menjadi rebutan kerana lokasi strategiknya antara Rusia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!