Polis arah pantau semua rumah ibadat

Mazlan (tengah) menyaksikan majlis penyerahan cenderahati di antara Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid (kanan) dan Ketua Polis Daerah Taiping baharu, Asisten Komisioner Osman Mamat(kiri).
Mazlan (tengah) menyaksikan majlis penyerahan cenderahati di antara Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid (kanan) dan Ketua Polis Daerah Taiping baharu, Asisten Komisioner Osman Mamat(kiri).
A
A
A

TAIPING - Polis Perak akan mengarahkan kesemua ketua polis daerah menghantar anggota untuk menjalankan pemeriksaan berkala dan lawatan ke setiap rumah ibadat bagi membendung sebarang ancaman keganasan ketika ini.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Mazlan Santarai berkata, arahan itu dikuatkuasakan serta-merta bagi memastikan polis dapat menghindari sebarang insiden berniat jahat dan berunsurkan keganasan daripada berlaku di mana-mana rumah ibadat.

Menurutnya, polis menyedari isu keganasan berlaku di Christchurch, New Zealand sehingga mengorbankan lebih 40 nyawa baru-baru ini boleh mencetuskan rasa tidak selesa dan keresahan dalam kalangan rakyat negara ini.

"Polis sedia maklum negara Malaysia turut memiliki masyarakat majmuk berbilang kaum dan agama sebagaimana terdapat di New Zealand dan insiden keganasan berdarah di sebuah masjid di negara itu pastinya mencetuskan kebimbangan perkara sama mungkin boleh berulang di sini.

"Atas faktor itu, polis akan mengambil pendekatan lebih proaktif dengan memastikan bukan sahaja gereja-gereja dan masjid dipantau secara berkala, bahkan turut mengambil kira keselamatan rumah ibadat agama lain," katanya kepada media sempena majlis serah terima tugas jawatan Ketua Polis Daerah Taiping serta Pengerusi Perkep Daerah Taiping di sini hari ini.

Mazlan yang juga Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak turut menyaksikan upacara penyerahan jawatan itu kepada Ketua Polis Daerah Taiping baharu, Asisten Komisioner Osman Mamat daripada pemangkunya, Superintendan Razlam Ab Hamid.

Mazlan berkata, polis turut menegaskan akan mengambil tindakan lebih tegas kepada mana-mana pihak penganjur yang gagal mendapatkan permit kebenaran mengadakan sebarang perhimpunan atau demonstrasi di negeri ini.

Menurutnya, mana-mana penganjur dinasihatkan supaya memastikan program himpunan atau demonstrasi anjuran mereka mendapat permit kebenaran polis di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Kita juga akan memperketatkan syarat mendapatkan permit kebenaran berhimpun atau berdemonstrasi kerana tidak mahu ianya diserapkan unsur provokasi atau apa sahaja unsur yang bolen menimbulkan kebimbangan dan keresahan dalam kalangan rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Mana-mana pihak gagal berbuat demikian akan terus dibuka kertas siasatan jenayah sebelum dihadapkan ke mahkamah dengan segera,"katanya.

Selain itu, Mazlan turut menegaskan polis akan mempertingkatkan pemantauan terhadap sebarang fahaman ekstrem termasuk fahaman Neo Nazi daripada terus menular di negeri Perak.

"Fahaman sebegini perlu dikawal lebih awal bagi mengelakkan kebimbangan mereka menggunakan emosi dan menghasut orang lain untuk melakukan perbuatan radikal seperti aktiviti keganasan,"katanya.

Jumaat lalu, bandar raya Christchurch digemparkan dengan serangan keganasan apabila beberapa lelaki bersenjata melepaskan tembakan di dua masjid, menyebabkan sekurang-kurangnya 49 orang maut dan 48 lagi cedera.

Tiga suspek kini ditahan dan seorang daripadanya didakwa di mahkamah kerana membunuh.