PM NZ jijik sebut nama pengganas Christchurch

Perdana Menteri New Zealand Jacinda Arder. - Foto SBS NEWS
A
A

WELLINGTON - NEW ZEALAND. Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern berikrar tidak akan menyebut nama pengganas yang menyerang dua masjid di Christchurch Jumaat lalu.

Bercakap ketika pembukaan sesi Parlimen hari ini, Ardern menegaskan pengganas terbabit akan berdepan hukuman setimpal susulan jenayah keganasan yang dilakukannya.

"Dia mempunyai banyak motif disebalik serangan keganasan tersebut, antaranya meraih publisiti. Atas sebab itulah, anda tidak akan mendengar saya menyebut namanya.

"Dia seorang pengganas,penjenayah dan ekstremis dan saya tidak akan sesekali menyebut namanya," kata Ardern yang memulakan sesi dengan memberi ucapan salam kepada ahli Parlimen yang hadir.

Ardern turut meminta orang ramai menyebut nama mangsa berbanding nama orang yang membunuh mereka.

Ketika ini, berpuluh ahli keluarga mangsa yang meninggal dunia susulan serangan di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood mula tiba dari seluruh dunia menjelang pengebumian yang telah tertangguh selama beberapa hari sejak serangan Jumaat lalu.

Proses pengecaman mayat dan dokumentasi forensik yang berjalan perlahan menyebabkan pengebumian tidak dapat dijalankan segera, sekali gus menambahkan lagi kedukaan keluarga mangsa.

Javed Dadabhai, yang tiba dari Auckland untuk menguruskan pengebumian sepupunya berkata, proses pengecaman berjalan dengan teliti namun pada kadar yang amat perlahan.

"Sesetengah keluarga telah diminta melihat mayat ahli keluarga yang terkorban, namun ia hanya setakat tiga atau empat keluarga.

"Majoriti keluarga mangsa masih tidak berpeluang untuk melihat mayat ahli keluarga masing-masing," katanya kepada AFP.

Rentetan dari serangan maut itu, Ardern berjanji untuk memperketat undang-undang senjata api New Zealand, malah rakyat negara itu telah mula menyahut seruan kerajaan untuk menyerahkan senjata api milik mereka.

Sementara itu, Ardern turut memaklumkan butiran lanjut berkaitan cadangan kerajaan untuk mengubah undang-undang pemilikan senjata akan diumumkan menjelang minggu depan, dan pelan mengharamkan sesetengah senjata semi automatik turut dipertimbangkan. - AFP