Graduan Kolej Vokasional Port Dickson tak sempat menganggur

Muhammad Asakhir Daniel (kiri) dan Nuramira Izzati memperoleh diploma masing-masing ketika Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Keenam 2021, Kolej Vokasional Port Dickson pada Sabtu.
Muhammad Asakhir Daniel (kiri) dan Nuramira Izzati memperoleh diploma masing-masing ketika Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Keenam 2021, Kolej Vokasional Port Dickson pada Sabtu.
A
A
A

PORT DICKSON - Kebanyakan graduan Kolej Vokasional Port Dickson di sini tidak sempat menganggur apabila masing-masing berjaya mendapat pekerjaan sebaik tamat pengajian tahun lalu.

Graduan Diploma Teknologi Pembinaan, Muhammad Asakhir Daniel Muhammad Taufiq, 21, berkata, beliau kini bekerja sebagai pengurus tapak selepas selesai membuat latihan industri pada Ogos tahun lepas.

"Saya diterima bekerja di tempat saya menjalani latihan industri sebelum mengambil lesen kontraktor kelas G1 pada Julai tahun lepas," katanya ketika ditemui pemberita ketika Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Keenam 2021, Kolej Vokasional Port Dickson pada Sabtu.

Seramai 200 pelajar Kolej Vokasional Port Dickson menerima diploma masing-masing dalam majlis tersebut dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan difahamkan kesemuanya sudah berjaya mendapat pekerjaan.

Sejak Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tahun 2016 hingga 2020, seramai 54,916 graduan telah bergraduasi dan telah berada di pasaran pekerjaan sama ada di industri dan menjadi usahawan, manakala sebahagiannya menyambung pengajian.

Seorang lagi graduan Diploma Teknologi Pembinaan, Nuramira Izzati Mohd Tarmizi, 21, berkata, beliau mengikut jejak langkah bapanya, Mohd Tamizi Moktar, 44, yang merupakan seorang kontraktor.

"Bagaimanapun, saya tidak bekerja dengan ayah, kami berada di lain-lain syarikat, keadaan itu membolehkan saya berdikari dan dapat pengalaman baharu dalam bidang yang saya minati.

"Walaupun negara dalam suasana pandemik Covid-19, saya bersyukur kerana tidak menganggur selepas tamat pengajian dan saya akan manfaatkan peluang yang ada," katanya yang merupakan anak tunggal.

Artikel Berkaitan:

Adam Rifqy Marjihan, 20, pula berkata, ketika ini beliau bekerja di bawah syarikat ayahnya selepas tamat pengajian sebagai pengurus tapak.

"Ayah banyak beri tunjuk ajar dan ia satu bonus kepada saya apabila dapat bekerja dalam bidang sama," katanya yang merupakan graduan Diploma Teknologi Pembinaan.

Media sebelum ini melaporkan, graduan dalam jurusan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) mendapat permintaan tinggi daripada sektor industri di Negeri Sembilan, justeru ia dapat mengurangkan kebergantungan majikan kepada tenaga kerja asing.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kebolehpasaran graduan TVET ini merupakan aset kepada negara kerana mereka merupakan penyumbang tenaga kerja yang mahir dalam industri termasuk sektor perkilangan dan pembuatan.