Covid-19: 27,808 kes baharu, 235 kes ICU

Malaysia rekodkan kes baharu Covid-19 sebanyak 27,808 kes pada Jumaat menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 3,166,023 kes. - Foto Fail Bernama
Malaysia rekodkan kes baharu Covid-19 sebanyak 27,808 kes pada Jumaat menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 3,166,023 kes. - Foto Fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia merekodkan kes baharu Covid-19 sebanyak 27,808 kes pada Jumaat menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 3,166,023 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kapasiti penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) di Johor, Perlis dan Kuala Lumpur didapati telah melebihi 50 peratus susulan peningkatan mendadak kes harian positif Covid-19.

“Bagi pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di ICU meningkat kepada 235 kes berbanding 216 kes pada Khamis.

“Pengisian katil bukan ICU untuk kes Covid-19 turut melebihi 50 peratus membabitkan hospital di lapan negeri iaitu di Kelantan, Johor, Perak, Perlis, Selangor, Sabah, Kuala Lumpur dan Putrajaya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di sembilan negeri iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Sabah, Pulau Pinang, Perlis dan Melaka juga mencatatkan penggunaan katil melebihi 50 peratus.

"Pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) meningkat kepada 132 pesakit dan peratusan penggunaannya sebanyak 36 peratus,” ujarnya.

Dr Noor Hisham berkata, daripada 27,808 kes harian yang dilaporkan pada Jumaat, sebanyak 103 kes atau 0.37 peratus adalah kategori tiga hingga lima.

Tambahnya, sebanyak 27,705 kes atau 99.63 peratus lagi terdiri daripada kategori satu dan dua.

Artikel Berkaitan:

“Daripada 103 kes bagi pesakit kategori tiga hingga lima yang dilaporkan, 43 kes (41.75 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi.

“Sebanyak 41 kes (39.81 peratus) pula sudah menerima dua dos vaksin Covid-19, manakala 19 kes (18.45 peratus) telah menerima dos penggalak.

“Selain itu, 50 kes berumur 60 tahun ke atas, 44 kes mempunyai komorbid, satu kes ibu mengandung dan 16 kes yang telah meninggal dunia termasuk sembilan kes brought-in-dead (BID).

Sementara itu, jelasnya, sebanyak 12,488 jumlah kes sembuh direkodkan menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,900,682 kes.