Tekong, pemandu van persiaran ditahan seludup PATI

19 PATI warga Myanmar yang ditahan selepas polis berjaya menahan sebuah van persiaran jenis Era Komuter di Kampung Lubok Kawah, Rantau Panjang pada Khamis.
19 PATI warga Myanmar yang ditahan selepas polis berjaya menahan sebuah van persiaran jenis Era Komuter di Kampung Lubok Kawah, Rantau Panjang pada Khamis.
A
A
A

PASIR MAS - Seorang lelaki warga Thailand yang bertindak sebagai tekong darat dicekup bersama 19 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar selepas menahan sebuah van persiaran jenis Era Komuter di Kampung Lubok Kawah di sini pada Khamis.

Dalam serbuan jam 5.45 pagi itu, polis turut menahan pemandu van tersebut yang berusia 37 tahun bagi membantu siasatan berhubung penahanan PATI berkenaan.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, sekitar jam 5 pagi pihaknya telah membuat rondaan sejurus menerima maklumat berkait dengan aktiviti penyeludupan migran di kawasan Kampung Siram di sini.

"Semasa melakukan rondaan, anggota berkenaan telah terserempak dengan sebuah van persiaran berwarna putih hijau dan kereta jenis Audi A4 berwarna putih yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan pada jam 5.45 pagi.

"Menyedari kehadiran anggota polis, kedua-dua kenderaan tersebut cuba melarikan diri. Bagaimanapun van persiaran berjaya ditahan di Kampung Lubok Kawah sementara kereta Audi A4 gagal dikesan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas van persiaran tersebut menemui sembilan wanita dan 10 lelaki warga Myanmar berusia antara 20 hingga 39 tahun.

Beliau berkata, van persiaran tersebut dipandu oleh seorang lelaki tempatan dari Padang Serai, Kedah.

Katanya, hasil siasatan terhadap pemandu tersebut pihaknya berjaya menahan seorang warga Thailand berusia 42 tahun dipercayai menjadi tekong yang membawa masuk PATI ke negara ini.

Artikel Berkaitan:

Mohd Nasaruddin berkata, kesemua suspek diserahkan ke Balai Polis Jeram Perdah untuk pemeriksaan lanjut.

"Kesemua suspek telah ditahan di bawah Seksyen 51 (3) Akta Imigresen (Pindaan 2002) iaitu peruntukan menahan warganegara asing yang ditangkap untuk siasatan lanjut," katanya.