Sila log masuk terlebih dahulu.

Apa jadi dengan Ebit Lew?

Ebit didakwa di Mahkamah Litar, Tenom atas 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual pada Jumaat.
Ebit didakwa di Mahkamah Litar, Tenom atas 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual pada Jumaat.
A
A
A

KECOH di media sosial apabila media melaporkan pendakwah terkenal, Ebit Lew dihadapkan ke Mahkamah Litar di Tenom, Sabah, pada Jumaat dipercayai membabitkan 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual.

Berdasarkan tinjauan di media sosial, rata-rata warganet meninggalkan pelbagai reaksi pada ruangan komen, ada daripadanya berpihak kepada Ebit Lew dengan mengatakan bahawa ia tidak masuk akal, malah dianggap fitnah akhir zaman.

Ada juga yang mengeluarkan kata-kata negatif dengan beranggapan rakyat jangan mudah terpedaya dengan imej pakaian.

Sebelum ini, Ebit Lew yang mengaku tidak bersalah didakwa atas kesalahan membuat penghantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang perempuan melalui aplikasi WhatsApp di daerah Tenom antara Mac hingga Jun tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya dalam semua 11 pertuduhan terbabit.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 20 hingga 23 April depan sebagai tarikh penyerahan dokumen, manakala tarikh perbicaraan ditetapkan pada Jun depan.

Pada 3 Februari lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kertas siasatan kes gangguan seksual melibatkan Ebit hampir lengkap.

Pada Julai lalu, siasatan terhadap pendakwah terkenal itu dilakukan selepas polis menerima laporan daripada beberapa individu mendakwa pendakwah tersebut melakukan gangguan seksual.

Artikel Berkaitan:

Susulan laporan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 23 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan pada Jumaat berkata, pendakwaan terhadap Ebit Lew dilakukan selepas siasatan dari pelbagai sudut termasuk kemungkinan unsur fitnah.

Dalam pada itu, pendakwah berusia 37 tahun itu mendakwa pertuduhan yang dikenakan terhadapnya adalah tidak berasas dan melampau selain bertujuan mahu menjatuhkan kredibiliti beliau.

Dakwanya lagi, pertuduhan yang dihadapi di mahkamah pada Jumaat adalah dirancang oleh kumpulan tertentu sejak sekian lama.

Dalam hal ini, orang ramai seharusnya tidak melakukan sebarang spekulasi berhubung pendakwaan kes supaya prosiding di mahkamah tidak terganggu.

Perkara sebaiknya adalah menyerahkan urusan kepada mahkamah untuk menegakkan undang-undang seadilnya sama ada kepada yang dituduh dan juga kepada pengadu.