Kerajaan perlu terbit kajian kebolehlaksanaan pemilihan model SWN

Tricia Yeoh
Tricia Yeoh
A
A
A

SHAH ALAM - Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menggesa kerajaan untuk menerbitkan kajian kebolehlaksanaan yang mewajarkan pemilihan model rangkaian borong tunggal (SWN) dalam pelaksanaan rangkaian 5G dalam negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tricia Yeoh berkata, mereka perlu lebih telus berhubung kos jangka panjang model tersebut kepada orang ramai berbanding dengan membolehkan pasaran kompetitif yang saling berkaitan.

Katanya, IDEAS menghargai bahawa untuk memastikan kebolehramalan pengawal seliaan, kerajaan tidak mampu untuk meninggalkan model SWN yang telah dilaburkan secara besar-besaran.

Beliau berkata, bagaimanapun, langkah-langkah pengurangan risiko adalah perkara utama yang perlu dilakukan dengan segera untuk bergerak ke hadapan.

“Penerbitan kajian kebolehlaksanaan dan perbincangan penting untuk memberikan bukti mengenai kedudukan kerajaan dalam mengembalikan dasar Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang telah lama dipegang bagi membolehkan persaingan pasaran di peringkat infrastruktur dan runcit.

“Ini memandangkan model SWN lain dari seluruh dunia masih belum berjaya sehingga kini. Adalah penting bahawa amalan terbaik antarabangsa dirujuk,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam pada itu, Tricia berkata, kerajaan perlu menyediakan justifikasi dakwaan bahawa model SWN akan menghasilkan harga yang lebih murah dan penggunaan lebih cepat.

Menurutnya, ia kerana satu entiti milik kerajaan memerlukan sumber yang tinggi untuk melancarkan infrastruktur secara serentak berbanding pesaing pasaran.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan harus memberikan bukti yang jelas tentang bagaimana Digital Nasional Berhad (DNB), sebuah syarikat yang ditubuhkan dalam tempoh setahun tanpa sebarang infrastruktur terdahulu, akan melancarkan infrastruktur 5G yang cekap kos di seluruh negara.

“Sebagai contoh, adakah DNB perlu memajak dan menaik taraf menara daripada penyedia perkhidmatan sedia ada untuk memajakkan kembali rangkaian 5G kepada penyedia yang sama ini yang dilesenkan secara eksklusif untuk beroperasi?

“Adakah kos tersebut akan diserahkan kepada pengguna? Nilai tambah yang ditawarkan oleh DNB ini perlu dipersoalkan, selain kebenaran untuk mengenakan bayaran untuk sub-pajakan sebagai pemegang lesen tunggal untuk 5G,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan perlu memberikan penjelasan berhubung beberapa persoalan untuk memastikan ketelusan dalam pelancaran infrastruktur rangkaian 5G.

“Antaranya berhubung isu kos dan faedah model rangkaian 5G yang digunakan, harga untuk akses borong kepada 5G akan dikawal SKMM melalui dokumen Tawaran Akses Rujukan (RAO), mekanisme pengawasan luaran tambahan yang wujud ke atas DNB seperti Jawatankuasa Pilihan Parlimen serta mekanisme yang DNB dan kerajaan telah sediakan untuk memastikan tiada ketirisan dan campur tangan politik dalam perolehan kontrak, kontrak pembekal serta dalam pajakan tanah dan ruang untuk menara dan antena 5G,” ujarnya.