Menara telekomunikasi bakal dibina di rumah panjang Suing, Sarawak

Foto hiasan 123RF
Foto hiasan 123RF
A
A
A

SHAH ALAM – Sebuah menara telekomunikasi baharu bakal dibina pada tahun ini oleh pihak Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) untuk memberikan liputan 4G di kawasan rumah panjang Suing, Teberu, Ulu Kemalih, Pakan, Sarawak.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan berkata, ketika ini, perkhidmatan internet Wifi sedia ada di kawasan tersebut adalah di bawah projek Sarawak Linking Urban Rural and Nation (SALURAN Wifi) iaitu inisiatif daripada pihak kerajaan negeri melalui Sarawak Multimedia Authority (SMA).

Menurut MCMC, SALURAN Wifi adalah perkhidmatan Internet yang menggunakan teknologi satelit dan mampu memberikan purata kelajuan sehingga 25Mbps.

“Perkhidmatan tersebut disediakan sebagai langkah interim bagi memberikan liputan Internet kepada penduduk di rumah panjang Suing dan sekitarnya.

“Untuk jangka masa panjang, sebuah menara baharu telah dirancang untuk dibina pada tahun ini oleh pihak Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) untuk memberikan liputan 4G di kawasan tersebut,” menurut kenyataan pada Khamis.

Penjelasan itu susulan laporan media berhubung kisah tular seorang pelajar dari Pakan, Sarawak yang terpaksa mendaki bukit semata-mata untuk mengikuti sesi temu ramah bagi kemasukan ke sebuah universiti tempatan akibat masalah capaian Internet di kediamannya.

Tambah kenyataan itu, MCMC mengambil maklum dan bersimpati dengan kesusahan yang dihadapi oleh pelajar berkenaan.

Justeru, MCMC akan bekerjasama dengan SMA untuk mengenal pasti kaedah capaian yang lebih sesuai bagi memastikan tahap kualiti pengalaman (Quality of Experience) ke atas perkhidmatan SALURAN Wifi sedia ada di rumah panjang Suing.

Artikel Berkaitan:

“Langkah tersebut penting bagi membolehkan para penduduk setempat termasuk pelajar yang terkesan itu dapat mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran selain melaksanakan urusan seharian dengan lancar,” kata kenyataan itu.