Cari jalan penyelesaian menara telekomunikasi tak berfungsi

Fahmi berucap pada program Jiwa Kita Madani di pasaraya Mydin, pada Sabtu. - Foto Bernama
Fahmi berucap pada program Jiwa Kita Madani di pasaraya Mydin, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diminta memanggil semua syarikat telekomunikasi bagi mencari jalan penyelesaian mengenai isu menara telekomunikasi yang tidak berfungsi disebabkan ketiadaan piring satelit di Sarawak.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, kementeriannya akan mengeluarkan arahan itu kepada MCMC dalam tempoh kurang dua minggu daripada hari ini bagi membincangkan isu yang digelar sebagai ‘menara tiada kuali.’

Beliau berkata, isu itu merupakan antara beberapa aduan yang diterima sejak beliau memulakan lawatan pertamanya ke Sarawak pada Khamis lepas.

"Antara sebab saya ingin datang melihat sendiri keadaan ini ialah untuk mencari jalan penyelesaian... untuk ada Internet berkualiti, kita perlukan menara yang ada kuali... ada kuali, insya-Allah kita dapat Internet berkualiti," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian JIWA Kita Madani di sini pada Sabtu.

Fahmi berkata, perkara kedua untuk diselesaikan ialah panggilan terputus di kawasan yang mempunyai isyarat lemah.

"Sebagai contoh, ketika saya masuk ke bangunan ini tadi, hanya satu bar sahaja tanda isyarat. Jadi kita perlukan jalan penyelesaian, apa yang diperlukan untuk dipasang di dalam bangunan ini agar isyarat tidak mengalami masalah," katanya yang berharap untuk 'menoktahkan' permasalah Internet seperti itu dengan segera agar rakyat Malaysia dapat menikmati perkhidmatan berkualiti. - Bernama