Dua penyamun kedai serbaneka ditangkap

Suspek menyasarkan kedai serbaneka di sekitar kawasan Kelana Jaya.
Suspek menyasarkan kedai serbaneka di sekitar kawasan Kelana Jaya.
A
A
A

PETALING JAYA - Dua lelaki ditahan pada Rabu kerana disyaki terlibat dalam kegiatan menyamun kedai serbaneka di sekitar Kelana Jaya di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, polis menerima laporan daripada seorang wanita sekitar jam 3.30 petang, pada Isnin mendakwa dirinya disamun.

Katanya, kira-kira jam 1.30 petang, mangsa yang berusia 40 tahun itu didatangi seorang lelaki tempatan ketika dia sedang bekerja di kaunter bayaran kedai serbaneka yang terletak di kawasan Kelana Jaya.

"Lelaki itu berpura-pura sebagai pelanggan dan ingin membuat bayaran di kaunter. Tiba-tiba suspek mengacukan pisau dan mengarahkan mangsa menyerahkan wang kepadanya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, mangsa yang panik terus menyerahkan wang dianggarkan berjumlah RM500 dari mesin tunai dan suspek terus melarikan diri.

Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Petaling Jaya berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 23 dan 34 tahun dalam kawasan Kelana Jaya.

"Polis telah merampas pakaian suspek serta sebilah pisau disyaki digunakan semasa melakukan jenayah samun.

"Siasatan awal mendapati, mereka terlibat dalam kes samun berkawan tanpa senjata api yang menyasarkan kedai serbaneka sekitar Kelana Jaya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Ku Mashariman, kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

"Dengan tertangkapnya kedua-dua suspek, polis percaya telah menyelesaikan tiga kes samun kedai serbaneka di kawasan Kelana Jaya.

"Suspek direman lima hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun berkawan tanpa senjata api yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat," jelasnya.