Kurang penyeliaan punca kepincangan jabatan kerajaan: Ayob Khan

 Ayob Khan
Ayob Khan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kepincangan pentadbiran sesebuah jabatan kerajaan kebanyakannya berpunca daripada kurangnya penyeliaan terhadap prosedur operasi standard (SOP) oleh ketua jabatan, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata, ketidakpatuhan kepada SOP dan sistem boleh membawa kepada kerosakan terhadap organisasi atau jabatan.

Justeru, katanya, pemimpin atau ketua sesebuah jabatan perlu mengambil tindakan tegas terhadap pegawai atau kakitangan bawahan apabila mendapati mereka tidak mengikut peraturan atau SOP ditetapkan bagi membendung masalah tidak diingini berlaku.

"Sistem dan prosedur kerja jabatan kerajaan sedia sudah cantik, tapi jika tidak diselia dan dipatuhi dengan baik akan menimbulkan banyak masalah," katanya ketika berucap pada program Integriti Dalam Menjaga Rahsia Kerajaan, di Institut Latihan Keselamatan Perlindungan Malaysia pada Khamis.

Menurut beliau, jika tindakan diambil terhadap kakitangan yang tidak mematuhi SOP ia menunjukkan kesungguhan pemimpin untuk melaksanakan tugas dan amanah serta meletakkan jabatan di landasan betul.

"Bila nampak kesungguhan ketua ini, barulah orang bawahan takut hendak buat benda tidak betul. Kalau sekadar bagi nasihat dan peluang, bagi saya itu sudah habis tempoh kerana kita sebagai penjawat awam perlu bertanggungjawab," jelasnya.

Beliau berkata, tiada ruang untuk berkompromi dengan mereka yang bermasalah terutama suka memberi alasan namun tidak memikirkan hala tuju kerajaan dengan melakukan sesuatu melanggar SOP. - Bernama

T

Artikel Berkaitan: