Ayob Khan dilantik Timbalan Ketua Polis Negara

Ayob Khan.
Ayob Khan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa pada Jumaat.

Pelantikan Ayob Khan adalah menggantikan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang telah dilantik sebagai Ketua Polis Negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Yang di-Pertuan Agong Al- Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis telah memperkenan pelantikan Ayob Khan sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.

"Ia adalah dimaklumkan bahawa seperti yang termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Saifuddin berkata, Ayob Khan, 57, dilahirkan pada 27 Julai 1966 di Kota Setar, Kedah, berkelulusan ljazah Sarjana Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

"Ayob Khan pernah menjawat pelbagai jawatan di peringkat negeri dan kontinjen. Beliau memulakan tugas pada 1993 di Cawangan Khas Bukit Aman dari pangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) sehingga ke pangkat Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) selama 15 tahun.

"Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) dan ditempatkan di Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman, sebelum Ayob Khan kembali ke Cawangan Khas dengan pangkat Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) pada 2016," katanya.

Beliau berkata, Ayob Khan berkhidmat selama empat tahun dan telah dinaikkan pangkat ke Pesuruhjaya Polis (CP) pada 2020 dan menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Johor.

"Pada 2022, beliau kembali ke Bukit Aman sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan kini berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah.

"Kerajaan mengucapkan syabas dan tahniah di atas pelantikan ini," katanya.