Sindiket curi elektrik boleh dikenakan hukuman bawah Kanun Keseksaan

Abd Jalil (kanan) dan Wan Nazmy menunjukan barang kes Ops Letrik (Bitcoin) yang dilupuskan pada majlis pelupusan di sini pada Khamis.
Abd Jalil (kanan) dan Wan Nazmy menunjukan barang kes Ops Letrik (Bitcoin) yang dilupuskan pada majlis pelupusan di sini pada Khamis.
A
A
A

ROMPIN- [DIKEMAS KINI] Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperkasakan tindakan di bawah Kanun Keseksaan (KK) untuk hukuman lebih berat termasuk dipenjarakan terhadap pihak yang didapati mencuri arus elektrik bagi tujuan melombong Bitcoin di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pendekatan itu turut dipersetujui Tenaga Nasional Berhad (TNB) berikutan peningkatan mendadak kes kecurian elektrik bagi tujuan itu tahun lalu.

Menurutnya, sebelum ini kes itu disiasat di bawah Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990 dengan hukuman denda RM1 juta namun ia tidak mengentarkan pihak sindiket.

"Justeru kita telah ambil keputusan dan pendekatan drastik di bawah Seksyen 379/427 KK yang membawa hukuman lebih berat iaitu denda dan boleh dipenjarakan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Majlis Pelupusan Barang Kes Op Letrik (Bitcoin) sempena Majlis Penutup Bengkel Pemurnian Siasatan Kes Kecurian Elektrik anjuran TNB dan PDRM di sini pada Khamis.

Turut hadir, Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood.

Abd Jalil berkata, sepanjang tahun lalu, pihaknya membuka 570 kertas siasatan berhubung kes kecurian elektrik seluruh negara dengan 528 tangkapan dan nilai kerugian mencecah RM54 juta.

Artikel Berkaitan:

Abd Jalil menunjukkan barang kes Ops Letrik (Bitcoin) yang dilupuskan pada majlis pelupusan di sini pada Khamis.
Abd Jalil menunjukkan barang kes Ops Letrik (Bitcoin) yang dilupuskan pada majlis pelupusan di sini pada Khamis.

Menurutnya, ia menunjukkan peningkatan berlipat kali ganda berbanding tahun 2020 apabila hanya 20 kertas siasatan dibuka dengan 26 tangkapan manakala nilai kerugian RM1.2 juta.

"Tahun lalu juga, polis membuka 20 fail projek ke sini di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan 10 individu telah dikenakan sekatan," katanya.

Sementara itu beliau berkata, Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang antara negeri yang merekodkan kes tertinggi setakat ini.

"Pahang juga turut merekodkan kes ini dengan beberapa kes berjaya diselesaikan tahun lalu," katanya.

Mengulas berhubung Bengkel Pemurnian Siasatan Kes Kecurian Elektrik anjuran TNB dan PDRM selama empat hari itu, Abd Jalil berkata, ia diadakan bagi memantapkan kaedah siasatan dan mendapatkan bukti bagi membawa pesalah kes itu ke muka pengadilan.

"Ia juga satu langkah ke arah memerangi dan melumpuhkan kegiatan ini habis-habisan," katanya.

Sementara itu, Wan Nazmy berkata, kerjasama strategik TNB bersama PDRM bagi mengesan kegiatan mencuri arus elektrik telah meningkatkan kecekapan pihaknya dalam membanteras kegiatan berkenaan terutamanya bagi kes yang melibatkan aktiviti perlombongan Bitcoin.

Menurutnya,kerjasama strategik dinamakan Ops Letrik itu telah memberikan impak yang amat positif dalam membendung kerugian hasil daripada aktiviti kecurian arus elektrik melibatkan pengguna industri dan komersial.

"Hasil kerjasama strategik ini sejak November 2020, TNB telah berjaya menghentikan kerugian kepada rakyat dan negara.

"Sehingga 31 Disember tahun lalu, nilai kerugian direkodkan sebanyak RM158 juta," katanya.

Tambah beliau, dalam tempoh 2018 sehingga 2021, sebanyak 7,209 kes kecurian elektrik melibatkan premis Bitcoin direkodkan di seluruh negara.