Fahmi Reza didakwa lagi isu minuman keras

Fahmi Reza
Fahmi Reza
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pereka grafik dan aktivis, Fahmi Reza yang sebelum ini didakwa membuat penghantaran komunikasi jelik berhubung isu kuarantin membabitkan menteri, dituduh lagi atas pertuduhan sama di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, berkaitan isu penjualan minuman keras.

Fahmi Reza atau nama sebenarnya Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, 45, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim MM Edwin Paramjothy.

Mengikut pertuduhan, Fahmi Reza didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui Facebook menggunakan nama profil Fahmi Reza jam 11.45 pagi, 1 Jun 2021.

Hantaran itu kemudian dibaca di sebuah unit apartment di Sentul Perdana, Bandar Baru Sentul di sini jam 9 pagi, 2 Jun 2021.

Ia merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Najihah Farhana Che Awang mencadangkan OKS diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam, Rajsurian Pillai yang mewakili OKS merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah.

"OKS telah memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan malah dia juga tidak akan mengganggu saksi-saksi pendakwaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, hakim Edwin membenarkan Fahmi Reza diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Minggu lalu, Sinar Harian melaporkan, Fahmi Reza mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik membabitkan isu peraturan kuarantin terhadap menteri yang pulang dari lawatan rasmi di luar negara melalui aplikasi Twitter tahun lalu.