Bekas CEO MARii didakwa lagi kali keempat

Mohamad Madani (kanan) menuju ke Mahkamah Sesyen Alor Setar untuk dituduh pada Rabu.
Mohamad Madani (kanan) menuju ke Mahkamah Sesyen Alor Setar untuk dituduh pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Rabu atas 12 pertuduhan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.038 juta pada 2021 dan 2022.

Tertuduh, Datuk Mohamad Madani Sahari, 56, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mohamad Madani dihadapkan buat kali keempat di mahkamah berikutan sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam sebanyak dua kali dan satu kali di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohamad Madani didakwa dengan 10 pertuduhan menerima hasil aktiviti haram menerusi akaun bank milik peguamnya, Norizan and Associates berjumlah RM1 juta.

Bagi dua lagi pertuduhan pula, tertuduh didakwa menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM38,000 daripada Trillion Cove Holdings Berhad, hasil pembelian saham Redeemable Preference Share-i berjumlah RM1 juta.

Semua pertuduhan tersebut didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad Cawangan Kulim, antara 7 September 2021 sehingga 22 Februari 2022.

Mohamad Madani didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd Radzuan memohon mahkamah mengguna pakai jaminan RM300,000 yang telah ditetapkan Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Peguam yang mewakili tertuduh, Wan Aizuddin Wan Mohammed dan Rahmat Abu Bakar bersetuju untuk mengguna pakai jaminan berkenaan.

Hakim Rohatul Akmar kemudiannya membenarkan permohonan pendakwaan dan menetapkan syarat tambahan iaitu seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah

Mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan bagi sebutan semula kes pada 9 Jun depan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.