Ramasamy tidak hormati undang-undang: Yadim

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Penggunaan istilah penculikan, manipulasi, paksaan dan ancaman tanpa bukti oleh Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy berhubung kes anak Loh Siew Hong adalah tindakan tidak menghormati undang-undang.

Bahkan kata Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), tindakan Ramasamy juga suatu provokasi.

"Tidakkah lebih baik Ramasamy menyemak kembali mengapakah pihaknya tidak memberi pembelaan semasa keluarga ini bermasalah sebelum ini dan ketika suami dan anak-anak tersebut belum beragama Islam?," kata Yadim dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Yadim, kes pada asalnya berkaitan dengan hak penjagaan anak-anak Siew Hong telah diulas dengan nada begitu provokatif oleh Ramasamy dan rakan-rakannya.

Ia telah menimbulkan isu pengislaman secara unilateral, penguatkuasaan berpihak dan sangkaan buruk kepada badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang telah menawarkan perlindungan kepada anak-anak yang menjadi mangsa perceraian ibu bapa mereka yang bukan Islam ketika itu.

"Tindak tanduk Ramasamy ini tidaklah begitu sukar untuk diduga kerana kenyataan terbaru beliau di laman Facebook peribadi yang mempersoalkan sikap parti politik lain yang dilihat membisu dalam soal ini," katanya.

Tegas Yadim, Ramasamy diingatkan bahawa dalam masa beliau menuntut agar undang-undang dihormati, tuntutan itu juga terpakai kepada beliau dan rakan- rakannya.

"Perlu ditegaskan bahawa Islam sama sekali tidak mengizinkan paksaan untuk memeluk agama ini namun Islam juga tidak mengizinkan penghinaan diberikan kepada umat ini tambahan lagi dari individu yang dilihat konsisten dalam menimbulkan sentimen buruk terhadap Islam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sabtu lalu, Siew Hong membuat laporan polis untuk mendapatkan kembali tiga anaknya, yang kali terakhir diketahui bersama keluarga bekas suaminya.

Anak wanita itu berusia 14 tahun (perempuan kembar) dan lelaki, 10 tahun didakwa berada di bawah jagaan pihak berkuasa agama di Perlis.