Sindiket 'scammer' jadikan warga emas 'keldai akaun'

 Shafien (tiga, kanan), Wan Roslan (kanan) dan Mohd Azmir (dua, kanan) beramah mesra dengan peserta Seminar Keselamatan pada Program Community Policing Ketua Polis Kelantan bersama Penggawa dan Penghulu Daerah Tumpat.
Shafien (tiga, kanan), Wan Roslan (kanan) dan Mohd Azmir (dua, kanan) beramah mesra dengan peserta Seminar Keselamatan pada Program Community Policing Ketua Polis Kelantan bersama Penggawa dan Penghulu Daerah Tumpat.
A
A
A

TUMPAT - Polis Kelantan mengesan kegiatan kumpulan sindiket scammer masuk ke kawasan perkampungan bagi mencari mangsa dalam kalangan warga emas untuk dijadikan sebagai ‘keldai akaun’.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, kegiatan dilakukan dengan pelbagai taktik penyamaran antaranya sebagai kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) konon untuk memberikan bantuan.

Katanya, modus operandi itu sudah lama dilakukan dan semakin aktif sejak kebelakangan ini dengan 10 kes direkodkan dalam tempoh dua bulan pada tahun ini.

“Mereka berkumpulan masuk ke kampung-kampung mencari mangsa terutama golongan warga emas dan memberikan wang tunai konon sebagai bantuan pertama serendah RM200.

“Mangsa dibawa membuka akaun bank tetapi kad bank dipegang oleh suspek dengan alasan konon mudah memasukkan wang bantuan walhal tanpa disedari akaun digunakan untuk tujuan penipuan dan mangsa tidak tahu langsung tentang kegiatan penipuan tersebut, itu yang dipanggil 'keldai akaun',” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Seminar Keselamatan pada Program Community Policing Ketua Polis Kelantan bersama Penggawa dan Penghulu Daerah Tumpat di Pantai Seri Tujuh di sini pada Isnin.

Hadir sama, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat dan Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd Azmir Damiri.

Shafien mengulas lanjut, dalang sindiket bertindak merekrut sekumpulan individu untuk melakukan penyamaran dan mencari mangsa dalam kalangan individu lebih berusia untuk dijadikan 'keldai akaun'.

“Sehubungan itu, saya menasihatkan orang ramai supaya berwaspada kerana statistik kes 'keldai akaun' di negeri ini agak membimbangkan.

Artikel Berkaitan:

“Jangan mudah terpedaya dengan individu tidak dikenali kerana 'keldai akaun' boleh ditangkap dan didakwa atas kesalahan menipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu setakat ini polis Kelantan menerima 147 laporan polis membabitkan 350 individu yang enggan divaksin atas alasan tertentu.

“Mereka terdiri daripada golongan dewasa manakala belum ada laporan membabitkan vaksin terhadap kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun kerana Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) baru bermula.

“Polis bagaimanapun sentiasa memantau penyebaran maklumat berkaitan vaksin dan akan mengambil tindakan kepada individu yang menyebarkan maklumat tidak tepat atau palsu termasuk di media sosial,” katanya.