Lesen pembalakan di Bukit Makro dibatalkan

Mohd Hizamri
Mohd Hizamri
A
A
A

KUANTAN - Lesen pembalakan di kawasan hutan berhampiran Bukit Makro, Maran dibatalkan dan segala aktiviti pra pembalakan di kawasan itu turut dihentikan.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, kelulusan yang diberikan kepada Amanah Saham Pahang (Aspa) melibatkan kawasan seluas 40.47 hektar itu dibatalkan pada 17 Januari lalu.

Menurutnya, keputusan itu dibuat kerajaan negeri berdasarkan analisa pasca banjir dan mengambil kira kepentingan awam.

"Kerja-kerja pembalakan di kawasan tersebut masih belum dimulakan oleh pihak pelesen, sebaliknya hanya kerja-kerja awalan membersihkan jalan pengeluaran dan pembinaan matau utama di atas tanah kerajaan sahaja telah dimulakan.

"JPNP telah mengarahkan agar kerja-kerja itu dihentikan semasa musim tengkujuh dan kejadian banjir di negeri Pahang baru-baru ini," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Hizamri berkata, semua jentera yang terlibat juga telah dikeluarkan dari kawasan tersebut.

Menurutnya, kawasan itu tidak melibatkan hutan simpan sebagaimana didakwa sesetengah pihak, sebaliknya ia tanah kerajaan yang diluluskan kepada Aspa bagi aktiviti pembalakan.

"Semua penilaiannya terutama yang berkaitan dengan impak alam sekitar telah mendapat kelulusan jabatan-jabatan yang terlibat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Isu pembalakan di kawasan itu telah menimbulkan kebimbangan penduduk terhadap risiko tanah runtuh, kepala air dan banjir lumpur sekiranya ia diteruskan.

Ia juga tular laman sosial beberapa hari lalu selepas isu dikongsi seorang aktivis alam sekitar yang mendesak kerajaan negeri menarik balik kelulusan tersebut.