Enam mangsa terperangkap tanah runtuh di Bukit Makro selamat

Anggota bomba membawa mangsa terlibat ke kawasan selamat. - Foto Ihsan JBPM
Anggota bomba membawa mangsa terlibat ke kawasan selamat. - Foto Ihsan JBPM
A
A
A

MARAN - Lima individu terdiri tiga wanita dan dua lelaki dewasa terperangkap di Bukit Makro di sini ketika turun mendaki dari bukit tersebut selepas berlaku kejadian tanah runtuh pada Rabu.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria memberitahu, dalam kejadian tersebut seorang pengawal keselamatan iaitu seorang lelaki dewasa turut diselamatkan dari kawasan tersebut.

Menurutnya, kesemua mangsa selamat dalam kejadian tersebut dan pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 9.27 pagi.

"Seramai enam anggota dan seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran bersama sebuah jentera dikerahkan ke tempat kejadian.

"Berlaku kejadian tanah runtuh di Bukit Makro sepanjang 500 meter dari jalan utama," kata beliau dalam kenyataan pada Rabu.

Jengkaut digunakan bagi mengalihkan sisa-sisa runtuhan tanah untuk memberikan akses kepada anggota bomba naik ke lokasi kejadian.- Foto Ihsan JBPM
Jengkaut digunakan bagi mengalihkan sisa-sisa runtuhan tanah untuk memberikan akses kepada anggota bomba naik ke lokasi kejadian.- Foto Ihsan JBPM

Ujar beliau, pendaki terdiri tiga wanita dewasa dan dua lelaki dewasa berusia 33 hingga 45 tahun serta seorang pengawal keselamatan pencawang berusia 37 tahun terperangkap di kawasan atas runtuhan tanah.

"Pasukan bomba dengan lain-lain agensi mendaki Bukit Makro bagi membawa kesemua mangsa ke kawasan yang selamat.

"Turut membantu dari Majlis Daerah Maran dan pihak Paip (Pengurusan Air Pahang Berhad) bagi kerja-kerja mengalihkan sisa-sisa runtuhan tanah menggunakan jentera jengkaut bagi memberikan akses kepada pihak bomba naik ke lokasi kejadian," jelas beliau.

Sementara itu, Majlis Daerah Maran dalam laman sosial Facebook pada Rabu memaklumkan penutupan sementara aktiviti mendaki Bukit Makro kepada orang awam kerana kerja-kerja penyelenggaraan sehingga satu tarikh yang akan diberitahu kelak.