Lebih bimbang dijangkiti Covid-19 berbanding kesan sampingan vaksin

Adam Rayyan Rizqi (duduk) diberi suntikan vaksin Pfizer di HRPZ II, Kota Bharu pada Isnin. - Foto Sinar Harian
Adam Rayyan Rizqi (duduk) diberi suntikan vaksin Pfizer di HRPZ II, Kota Bharu pada Isnin. - Foto Sinar Harian
A
A
A

KOTA BHARU - Bimbang dijangkiti Covid-19 berbanding kesan vaksin mendorong ibu bapa atau penjaga membawa anak-anak mereka mendapat suntikan lebih awal pada Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) di negeri ini.

Dr Sumayyah Mohammad Azmi, 33, ketika ditemui memberitahu, beliau membawa dua anaknya, Adam Rayyan Rizqi Mohamad Zalman, 7, dan Nur Izzara Sofea, 6, untuk mendapatkan suntikan vaksin jenis Pfizer di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada Isnin.

Beliau berkata, langkah itu sebagai usahanya kerana bimbang dua anaknya dijangkiti apabila hampir setiap hari melihat sendiri keadaan pesakit yang serius di tempat bertugas akibat virus itu.

Dr Sumayyah
Dr Sumayyah

“Sebagai pegawai perubatan yang bertugas di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), saya sangat menggalakkan ibu bapa membawa anak-anak mendapatkan suntikan vaksin kerana lebih bimbang sekiranya dijangkiti Covid-19 berbanding risau terhadap kesan sampingan selepas mengambil vaksin.

“Saya memilih untuk anak-anak menerima suntikan vaksin daripada berdepan dengan jangkitan atau keadaan yang lebih buruk sekirannya dijangkiti,” katanya ketika ditemui di PICKids di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini pada Isnin.

Turut sama mengambil suntikan vaksin dos pertama ialah pasangan adik-beradik, Afif Zayd Aiman Asyraf, 9, dan Aafiya Zulfa, 7, yang juga cucu kepada Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Selasawati Ghazali.

Dr Selasawati berkata, keberkesanan vaksin dapat dilihat apabila data terkini jangkitan bagi kategori tiga, empat dan lima di negeri ini kurang daripada satu peratus jumlah keseluruhan jangkitan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, melihat keberkesanan yang diperoleh menerusi data dan statistik bagi pesakit Covid-19 kategori tiga, empat dan lima adalah sangat rendah atau kurang daripada satu peratus manakala selebihnya pesakit kategori satu dan dua.

“Bagi pesakit kategori satu dan dua ini, mereka hanya perlu kuarantin di rumah serta menjaga kendiri.

“Ini keberkesanan vaksin yang kita dapat lihat. Walaupun bilangan pesakit positif sangat tinggi tetapi kemasukan ke hospital sangat rendah berbanding tempoh sebelum ini termasuk yang bergejala teruk,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima vaksin kanak-kanak, Firfarrel Raffael Mohd Firdaus,7, memberitahu ingin mendapatkan suntikan vaksin sebagai persediaan kerana seronok bersekolah secara bersemuka.

“Kawan-kawan ada yang terkena jangkitan Covid-19. Saya mengambil vaksin kerana mahu belajar di sekolah dan bermain dengan kawan-kawan,” katanya.