48 jalan persekutuan terjejas akibat banjir di Pahang

Norolazali (tiga dari kiri) melawat lokasi runtuhan cerun di Jalan Persekutuan 8 (FT08) Bentong-Raub yang mengalami kerosakan akibat bencana banjir pada Disember dan Januari lalu. - Foto Bernama
Norolazali (tiga dari kiri) melawat lokasi runtuhan cerun di Jalan Persekutuan 8 (FT08) Bentong-Raub yang mengalami kerosakan akibat bencana banjir pada Disember dan Januari lalu. - Foto Bernama
A
A
A

BENTONG - Sebanyak 48 jalan persekutuan telah dikenal pasti mengalami kerosakan akibat banjir melanda Pahang pada Disember 2021 dan awal tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM27 juta untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan jalan tersebut, yang telah dimulakan secara berfasa.

Antara lokasi yang mengalami kerosakan ialah Jalan Kuala Lumpur-Kuantan (FT002), Jalan Karak-Manchis (FT009), Jalan Utama Bera (FT1510) dan Jalan Benta-Jerantut-Maran (FT064).

"Kerja pembaikan telah bermula dan berjalan dengan baik setakat ini, yang mana sehingga kini sebanyak 17 peratus daripada 48 lokasi tersebut, sedang dalam proses pelaksanaan pembaikan,” katanya kepada pemberita di Dewan Mesyuarat Utama Majlis Perbandaran Bentong di sini pada Isnin.

Selain itu, beliau memaklumkan beberapa lokasi utama di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak telah dikenal pasti untuk dilakukan pembaikan, melibatkan sistem aliran antaranya di KM 66-67, KM67-68, KM77.1 dan KM78-78.2, menghala Kuala Lumpur.

Katanya kerja-kerja pembaikan tebing sungai di KM74.4-75.1 dan KM78-78.2 telah siap sepenuhnya, manakala baik pulih cerun serta perparitan di KM66-66.7 dijangka siap pada April depan.

Norolazali sebelum itu mendengar taklimat perkembangan pascabanjir infrastruktur daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang, sebelum meninjau lokasi runtuhan cerun di Jalan Persekutuan FT08 Bentong.- Bernama

Artikel Berkaitan: