Saman pencen: Mahkamah saran pesara hakim, kerajaan cari penyelesaian

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin mencadangkan pihak terlibat dalam saman difailkan sekumpulan 35 individu, terdiri daripada bekas anggota badan kehakiman dan tujuh balu bekas hakim berhubung kegagalan kerajaan menetapkan kenaikan sewajarnya dalam pencen dan faedah yang mereka terima sejak 2015, diselesaikan melalui proses pengantaraan.

Bekas anggota badan kehakiman itu termasuk bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff; bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Siti Norma Yaakob dan Tan Sri Haidar Mohamed Nor; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yunos yang juga bekas Speaker Dewan Rakyat.

Mereka menamakan kerajaan, Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sebagai defendan pertama hingga keempat.

Peguam Christopher Leong yang mewakili bekas hakim sebagai plaintif itu berkata, Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mencadangkan agar pihak-pihak yang terlibat supaya meneroka kemungkinan melalui proses pengantaraan.

"Kami memaklumkan kepada mahkamah bahawa kami bersetuju untuk meneroka kemungkinan untuk pengantaraan dan Peguam Persekutuan, M Kogilambigai memberitahu mahkamah bahawa beliau akan mendapatkan arahan mengenai perkara ini juga dan kembali ke mahkamah pada tarikh pengurusan kes akan datang," kata peguam itu kepada pemberita selepas pengurusan kes pada Isnin.

Leong berkata, hakim juga memberitahu mahkamah bahawa beliau mempunyai kaitan dengan salah seorang plaintif dalam saman itu (hubungan keluarga) dan meminta pandangan pihak-pihak terlibat.

Bagaimanapun, mahkamah dimaklumkan bahawa tiada bantahan bagi pihak mereka yang terlibat dan hakim kemudiannya menetapkan 21 Mac untuk pengurusan kes selanjutnya untuk memaklumkan status pengantaraan.

Dalam saman yang difailkan pada 24 Jan lepas itu, kesemua plaintif memohon deklarasi bahawa kegagalan untuk menetapkan peratusan kenaikan lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain bagi setiap plaintif mengikut Seksyen 15B(2) Akta Saraan Hakim 1971 (Akta 45) melalui perintah dalam Warta telah melanggar Perkara 125(7) dan 125(9) Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Mereka memohon perintah bahawa defendan kedua atau ketiga (Perdana Menteri dan Jemaah Menteri) hendaklah menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan peratusan kenaikan lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain yang diberikan kepada setiap plaintif berkuat kuasa dari 1 Julai 2015 mengikut Seksyen 15B(2) akta tersebut.

Plaintif berkata mengikut Seksyen 15B Akta Saraan Hakim 1971, pencen hakim bersara dan orang tanggungan hakim yang telah meninggal dunia diselaraskan secara automatik berdasarkan gaji semasa hakim masih berkhidmat yang disemak secara berperingkat dari semasa ke semasa sebagaimana yang wajib dilakukan menurut Perkara 125(7) dan 125(9) Perlembagaan Persekutuan. - Bernama