35 bekas hakim, balu saman kerajaan isu pencen

Seramai 35 bekas hakim dan balu bekas hakim menfailkan saman pemula terhadap kerajaan, berhubung isu kenaikan pencen dan faedah yang diterima, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu.
Seramai 35 bekas hakim dan balu bekas hakim menfailkan saman pemula terhadap kerajaan, berhubung isu kenaikan pencen dan faedah yang diterima, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Seramai 35 bekas hakim dan balu bekas hakim menfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi di sini minggu lalu, terhadap Perdana Menteri, kerajaan dan dua yang lain, berhubung kegagalan kenaikan pencen yang sepatutnya diterima, sejak tujuh tahun lalu.

Mereka merupakan 28 bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi termasuk Sabah dan Sarawak manakala tujuh lagi ialah balu-balu bekas hakim.

Antaranya ialah bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff; bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohamed Nor, Tan Sri Siti Norma Yaakob dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Mereka selaku plaintif menfailkan saman itu menerusi Tetuan Chooi & Company + Cheang & Ariff dengan menamakan kerajaan, Perdana Menteri, jemaah menteri dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sebagai defendan pertama hingga keempat.

Menerusi dokumen saman pemula, plaintif berkata, mengikut Seksyen 15B Akta Saraan Hakim 1971, pencen hakim-hakim bersara dan tanggungan bekas hakim (balu) diselaraskan secara automatik berdasarkan gaji semasa hakim-hakim yang masih berkhidmat dan disemak secara berperingkat dari semasa ke semasa.

Katanya, pengiraan pelarasan itu telah dinyatakan dalam Jadual Ketiga dan Keempat akta tersebut tetapi ia telah dipadamkan.

Tindakan tersebut katanya, telah menjejaskan hak mereka sedangkan gaji hakim-hakim yang masih berkhidmat telah dinaikkan berkuatkuasa 1 Julai 2015.

"Di bawah peruntukan Seksyen 15B (sebelum pindaan), pencen plaintif akan diselaraskan secara automatik sejajar dengan kenaikan gaji hakim yang masih berkhidmat.

Artikel Berkaitan:

“Namun, mengikut peruntukan seksyen 15B(1) (selepas pindaan dan dikira secara retrospektif), pencen hakim bersara diselaraskan setiap tahun dengan kenaikan dua peratus dan tidak lagi mengambil kira kenaikan gaji yang diterima oleh hakim-hakim yang masih bekerja," katanya.

Oleh itu plaintif berkata, ia menyebabkan mana-mana hakim yang dilantik sebelum 1 Januari 2014 akan menerima pencen lebih rendah daripada yang sepatutnya.

Mereka mendakwa defendan bertanggungjawab untuk membayar pencen dan faedah dengan kenaikan melebihi dua peratus setiap tahun.

Justeru itu, plaintif memohon deklarasi bahawa defendan telah melanggar Perkara 125(7) yang dibaca bersama Perkata 125(9) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, defendan gagal menetapkan peratusan kenaikan melebihi dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain sebaik sahaja kenaikan gaji Hakim Hakim dan Pesuruhjaya Kehakiman yang sedang berkhidmat berkuatkuasa pada 1 Julai 2015.

Kesemua plaintif memohon perintah bahawa defendan kedua atau ketiga iaitu Perdana Menteri dan Jemaah Menteri hendaklah menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan peratusan kenaikan yang lebih tinggi daripada dua peratus.

Selain itu, mereka juga memohon perintah mahkamah supaya defendan-defendan membayar setiap plaintif amaun yang mereka berhak sejak 1 Julai 2015 selain memohon kos, faedah dan perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

“Kami terkilan dengan ketidak larasan pencen sebagai mana peruntukan Seksyen 15B yang termaktub dalam Perlembagaan, telah dipinda yang mana pindaan itu telah mengubah pencen sehingga merugikan kami,” katanya.