Tanah runtuh: Petugas balai polis, keluarga dipindahkan

Keadaan kejadian tanah runtuh yang berlaku berhampiran di Balai Polis Tongod pada Ahad. - Foto Bomba
Keadaan kejadian tanah runtuh yang berlaku berhampiran di Balai Polis Tongod pada Ahad. - Foto Bomba
A
A
A

TONGOD - Seramai 31 individu daripada sembilan keluarga petugas Balai Polis Tongod dipindahkan sebagai langkah keselamatan, susulan kejadian tanah runtuh berdekatan dengan balai itu awal pagi Ahad.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, dua pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan iaitu Rumah Rehat Pejabat Daerah Tongod dan Rumah Rehat Majlis Daerah Tongod bagi menempatkan mereka.

"Dua PPS itu diaktifkan pada jam 9 pagi tadi, dan keluarga terlibat dipindahkan bagi tujuan keselamatan," menurut kenyataan itu.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaludin berkata, kejadian berlaku kira-kira 2.45 pagi membabitkan runtuhan tanah di perkarangan balai polis itu.

Beliau berkata, walaupun ia tidak melibatkan kerosakan pada struktur bangunan di balai polis berkenaan, keadaan tanah runtuh itu membimbangkan dan petugas serta keluarga yang tinggal di kuarters balai polis itu diarahkan berpindah sebagai langkah keselamatan.

"Pihak bomba menutup bahagian runtuhan dengan kanvas dan memasang pita keselamatan di sekitar kawasan terjejas," katanya ketika dihubungi pada Isnin. - Bernama

Artikel Berkaitan: