KPDNHEP tumpas sindiket seleweng diesel subsidi

Shamsul Nizam (dua dari kanan) menunjukkan lori lima tan yang diubah suai untuk mengisi minyak diesel.
Shamsul Nizam (dua dari kanan) menunjukkan lori lima tan yang diubah suai untuk mengisi minyak diesel.
A
A
A

NILAI - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggagalkan aktiviti penyelewengan 26,459 liter diesel bersubsidi bernilai RM56,887 di Jalan Klang Banting, Jenjarom Kuala Langat, Selangor minggu lalu.

Aktiviti berkenaan terbongkar selepas penguat kuasa KPDNHEP menyerbu sebuah premis dan sebuah stesen minyak pada 10 Februari, jam 2.50 petang, hasil risikan sejak sebulan lalu.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Operasi) KPDNHEP Putrajaya, Shamsul Nizam Khalil berkata, ketika serbuan di stesen minyak, terdapat aktiviti mengisi minyak diesel bersubsidi ke dalam tangki dua buah lori lima tan yang telah diubah suai.

Menurutnya, serbuan di sebuah premis yang disyaki dijadikan stor penyimpanan pula mendapati aktiviti pemindahan minyak diesel sedang dilakukan oleh dua buah lori lima tan lain yang disyaki daripada sindiket sama.

"Hasil siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menjalankan aktiviti mereka seawal jam 5 pagi hingga 10 malam setiap hari dengan menggunakan lori lima tan untuk membeli minyak diesel bersubsidi di stesen minyak terbabit.

"Lori berkenaan kemudian akan memindahkan kesemua minyak berkenaan ke stor penyimpanan yang jaraknya kira-kira lima kilometer dari stesen minyak," katanya ketika sidang akhbar di Kompleks Penyimpanan Eksibit KPDNHEP di sini pada Isnin.

Shamsul Nizam berkata, minyak diesel berkenaan dipercayai akan dijual kepada pihak industri bagi mengaut keuntungan.

Selain itu katanya, lima pemandu lori lelaki warga tempatan dan seorang penjaga stor berusia antara 25 hingga 50 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Turut ditahan pemilik stesen minyak berusia 36 tahun untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti sama ada dia terlibat atau tidak.

"Siasatan dibuat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti rantaian pengedaran minyak diesel tersebut dari stesen minyak ke tempat penyimpanan sehingga ke peringkat pembeli.

"Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan jika syarikat didenda tidak melebihi RM3 juta," katanya.

Beliau berkata, jumlah nilai rampasan termasuk lima lori dianggarkan RM215,680.

Sementara itu, menurut Shamsul Nizam, KPDNHEP akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen berkaitan barang kawalan oleh syarikat yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan.

Katanya, pihak syarikat terlibat juga akan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan, Pembiayaan, Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 di bawah Akta 613.

"KPDNHEP tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram ini," katanya.