X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 24 Mei 2022

MNS gesa penyelidikan berkaitan Harimau Malaya

Gambar Hiasan (Gambar kecil: Profesor Dr Ahmad Ismail)
A
A

SHAH ALAM – Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) menggesa agar satu penyelidikan berkaitan Harimau Malaya dapat disegerakan.

Presiden MNS, Profesor Dr Ahmad Ismail berkata, penyelidikan itu mestilah meliputi aspek seperti ekologi, pemakanan, kawasan legar, konflik dengan manusia dan pembiakan haiwan terbabit.

“Institusi dan penyelidik berwibawa mesti dikenal pasti yang mampu menjayakan penyelidikan dengan tepat mengikut aspek yang dicadangkan.

“Kerajaan dan agensi kerajaan serta pihak swasta (juga) perlu menyumbang kepada tabung khas penyelidikan tentang Harimau Malaya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bahawa kerajaan serius menangani isu populasi Harimau Malaya yang semakin terancam.

Ismail Sabri berkata, Harimau Malaya atau nama saintifiknya Panthera Tigris Jacksoni di hutan negara yang kini direkodkan kurang daripada 150 ekor.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, satu pendekatan yang holistik dalam jangka pendek perlu dibuat bagi menangani populasi Harimau Malaya yang kritikal.

“Habitat popular Harimau Malaya juga mesti dikenal pasti segera, dipantau dan kajian perlu dilakukan oleh pakar.

“Gabungan pakar dan aktivis yang ada mesti diselaraskan dan dirancang untuk mendapat data terkini tentang Harimau Malaya di habitat liar,” katanya.

Tambahnya, pasukan petugas pemuliharaan harimau kebangsaan (MyTTF) perlu dilaksanakan serentak bagi mendapat maklumat terkini tentang habitat, pergerakan dan keperluan harimau.

Beliau pada masa sama turut menyatakan bahawa universiti di negara ini seperti Universiti Putra Malaysia (UPM) mempunyai kepakaran dalam bidang terbabit kerana telah lama terlibat dalam penyelidikan hidupan liar.

“UPM mempunyai kepakaran dalam ekologi hidupan liar, pembiakan, konflik dengan manusia termasuk penyakit zoonotic. Mungkin beberapa penyelidik dari institusi lain juga dapat turut terlibat,” ujarnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!