Gagal kawal pemandu, syarikat berdepan tindakan tegas

Azmizam ketika ditemui selepas program Ziarah Kasih Warga Emas di Kota Bayuemas pada Ahad.
Azmizam ketika ditemui selepas program Ziarah Kasih Warga Emas di Kota Bayuemas pada Ahad.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - [DIKEMAS KINI] Pemilik syarikat logistik yang gagal mengawal pemandu kenderaan berat seliaan mereka dan memandu secara berbahaya bakal berdepan tindakan tegas daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, sebanyak 363 syarikat kontena di Pelabuhan Klang membabitkan 9,700 lori kontena.

Menurut beliau, satu perjumpaan bersama Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md Taib pada Rabu lalu memberi cadangan termasuk menyenaraihitamkan syarikat yang gagal memastikan pemandu memandu dalam keadaan selamat selain menggantung permit perniagaan.

"Bagaimanapun pemandu kenderaan berat tidak boleh dipersalahkan semata-mata sebaliknya keseluruhan sistem pengurusan syarikat tersebut perlu diambil kira kerana menjadi punca pemandu terpaksa memandu laju.

"Mereka juga mengejar jumlah perjalanan bagi mendapatkan sumber pendapatan," katanya kepada Sinar Harian selepas program Ziarah Kasih Warga Emas di Kota Bayuemas di sini pada Ahad.

Azmizam juga bimbang ada syarikat yang terdesak mengambil pekerja warga asing untuk memandu lori kontena kerana kekurangan kakitangan.

Tambah beliau, sudah tiba masanya JPJ atau APAD mengambil tindakan tegas terhadap syarikat yang tidak acuh terhadap undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Dari segi keselamatan ketika di jalan raya, pihaknya mencadangkan JPJ Selangor memasang sistem perangkap laju bagi memastikan pemandu kenderaan berat sentiasa mematuhi undang-undang.