[VIDEO] Polis gempur 'port' lumba haram

Antara penonton perlumbaan 'drag race' haram yang ditahan menerusi operasi khas bersepadu samseng jalanan berhampiran Plaza Tol Skudai, pada awal pagi Ahad.
Antara penonton perlumbaan 'drag race' haram yang ditahan menerusi operasi khas bersepadu samseng jalanan berhampiran Plaza Tol Skudai, pada awal pagi Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor menahan enam pelumba kereta dalam operasi khas bersepadu samseng jalanan - drag race di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Plaza Tol Skudai, awal pagi Ahad.

Dalam operasi bermula jam 2 pagi, sebuah bas pekerja digunakan bagi menutup laluan lebuh raya terbabit supaya pelumba dan 120 penonton membabitkan 105 lelaki dan 19 wanita berusia antara 18 hingga 45 tahun itu, tidak dapat meloloskan diri.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata aktiviti lumba haram itu dipercayai dilakukan setiap hujung minggu sehingga mengganggu ketenteraman serta keselamatan pengguna jalan raya.

Katanya, operasi khas bersepadu terbabit melibatkan 60 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Polis melakukan pemerhatian dan risikan sejak sebulan lalu selepas menerima aduan pengguna lebuh raya. Aktiviti perlumbaan 'drag race' haram ini biasanya diadakan pada hujung minggu antara jam 1 hingga 4 pagi.

"Mereka akan berlumba sejauh antara 700 meter hingga 1 kilometer selepas dilepaskan 'gadis litar'.

Polis tidak menolak kemungkinan 'drag race' haram ini didalangi sindiket.

Artikel Berkaitan:

Kamarul Zaman ( kanan) melihat enjin kereta yang telah diubahsuai bagi perlumbaan 'drag race' haram.
Kamarul Zaman ( kanan) melihat enjin kereta yang telah diubahsuai bagi perlumbaan 'drag race' haram.

"Polis turut akan menyiasat unsur perjudian dalam perlumbaan drag race haram ini di mana terdapat unsur ganjaran wang tunai selain wanita digunakan sebagai hadiah kepada pemenang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di dataran kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, enam pemandu berusia antara 22 hingga 25 tahun direman bermula Ahad bagi siasatan mengikut Seksyen 42 Kanun Keseksaan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan SekSyen 81 APJ 1987.

Jelasnya, 120 penonton perlumbaan turut menjalani saringan air kencing sebelum dilepaskan atas jaminan polis.

"Seorang pemandu dan dua penonton turut didapati positif dadah, turut akan direman atas kesalahan dadah," katanya.