Wanita maut tercampak dalam kemalangan tiga kenderaan

KUALA LUMPUR - Seorang wanita maut, manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 438.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Sungai Buaya, awal pagi ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Muhklis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 6.30 pagi, sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa tiba di lokasi pada jam 6.55 pagi.
Beliau berkata, kemalangan itu melibatkan dua Perodua Myvi serta sebuah Honda Jazz.
"Myvi pertama membawa dua mangsa, iaitu seorang lelaki berusia 25 tahun yang tersepit dan mengalami kecederaan parah, serta seorang wanita berusia 44 tahun yang tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
"Seorang wanita berusia 30 tahun yang menaiki Myvi kedua turut tersepit dan mengalami kecederaan parah, manakala seorang lelaki berusia 27 tahun yang berada dalam Honda Jazz berjaya keluar sendiri dan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit selesai pada jam 7.13 pagi, dan kesemua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut.
Ringkasan AI
- Seorang wanita maut dan dua lagi cedera parah dalam kemalangan di Kilometer 438.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah Sungai Buaya
- Panggilan kecemasan diterima pada jam 6.30 pagi dan pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 6.55 pagi
- Kemalangan melibatkan dua Perodua Myvi dan sebuah Honda Jazz
- Myvi pertama membawa seorang lelaki yang tersepit dan seorang wanita yang meninggal di lokasi
- Operasi penyelamatan mangsa yang tersepit selesai pada jam 7.13 pagi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
