Dicekup leka main judi dalam pondok

Polis menahan tujuh lelaki dan seorang wanita berjudi di sebuah pondok di Lukut. - Foto ihsan IPD Port Dickson
Polis menahan tujuh lelaki dan seorang wanita berjudi di sebuah pondok di Lukut. - Foto ihsan IPD Port Dickson
A
A
A

PORT DICKSON - Tujuh lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 29 hingga 50 tahun yang sedang bermain judi ditahan ketika serbuan polis di sebuah pondok di Batu 6, Lukut pada Sabtu.

Ketua Polis daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, serbuan pada jam 8.40 malam itu dilakukan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson

dalam Ops Limau dan Tahun Baru Cina.

" Sebaik tiba, terdapat dua kumpulan yang sedang mengelilingi dua buah meja. Pemeriksaan lanjut di meja pertama terdapat tiga lelaki dan seorang wanita sedang bermain judi daun terup manakala meja kedua dikelilingi empat lelaki leka bermain judi jenis Mahjong.

"Pasukan serbuan telah merampas 52 keping kad daun terup, 152 batu Mahjong, tiga biji dadu, dua meja, lapan kerusi, empat helai kertas mahjong dan wang tunai keseluruhan berjumlah RM728 yang dijadikan sebagai pertaruhan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Ujarnya, tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Port Dickson untuk siasatan lanjut dan hasil semakan dapati dua suspek mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana berjudi di tempat bebas yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,"katanya.

Artikel Berkaitan: