21 lelaki ditahan main judi belangkas

Antara wang dan peralatan digunakan untuk permainan judi yang dirampas dalam serbuan di belakang sebuah kedai makan Kampung Hutan Kandis, mukim Lepai, di sini, Isnin.
Antara wang dan peralatan digunakan untuk permainan judi yang dirampas dalam serbuan di belakang sebuah kedai makan Kampung Hutan Kandis, mukim Lepai, di sini, Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 21 lelaki termasuk dua warga asing ditahan ketika bermain judi belangkas dalam Op Dadu di belakang sebuah kedai makan Kampung Hutan Kandis, mukim Lepai pada Isnin.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, penahanan lelaki berusia lingkungan 20 hingga 60 tahun itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah.

Beliau memaklumkan, mereka ditahan lebih kurang jam 6.15 petang dalam serbuan di sebuah kawasan yang dijadikan tempat permainan judi di kampung itu.

"Semasa ketibaan pihak polis, masing-masing bertindak cuba melarikan diri namun kemudiannya berjaya ditahan pasukan serbuan.

"Susulan itu, polis turut merampas peralatan yang digunakan dalam permainan judi dipercayai jenis judi belangkas dan wang pertaruhan berjumlah RM17,000," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Beberapa lelaki yang cuba melarikan diri berjaya ditahan polis dalam serbuan di belakang sebuah kedai makan Kampung Hutan Kandis, mukim Lepai, di sini, Isnin.
Beberapa lelaki yang cuba melarikan diri berjaya ditahan polis dalam serbuan di belakang sebuah kedai makan Kampung Hutan Kandis, mukim Lepai, di sini, Isnin.

Beliau berkata, kesemua tangkapan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1959.

"Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM 5000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kesemua suspek akan direman selama empat hari bermula Selasa hingga Jumaat.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam apa jua bentuk aktiviti perjudian lebih-lebih lagi ketika umat Islam di negara ini sedang menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan.