PKBM berdiri teguh pertahan prestij LTdL

Abu Samah
Abu Samah
A
A
A

[WAWANCARA] SECARA tradisi, perlumbaan berbasikal terulung di rantau Asia – Le Tour de Langkawi (LTdL) diadakan pada awal tahun, sama ada Februari atau Mac.

Namun, atas beberapa kekangan yang tidak dapat dielakkan terutamanya membabitkan penajaan, LTdL 2022 hanya dapat dilangsungkan pada Jun depan.

Kata sepakat itu dicapai hasil pertemuan antara Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dengan pihak penganjur, Human Voyage Sdn Bhd serta Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bulan lalu.

Perkhabaran tersebut sedikit sebanyak meredakan seketika ketegangan yang timbul sebelum itu selepas Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab lantang bersuara mempersoalkan status LTdL tahun ini.

Bagi meleraikan segala persoalan berkaitan penganjuran LTdL 2022 serta mengupas perkembangan semasa sukan lumba basikal negara, ikuti temu bual eksklusif Editor Sukan Sinar, AZIZUL FAHMI AHMAD ZABIDI bersama Abu Samah di Melaka baru-baru ini.

SINAR HARIAN: Secara peribadi, saya mengenali Datuk sebagai seorang individu yang cukup tenang dan sentiasa cool sepanjang masa. Tetapi Datuk tiba-tiba ‘meletup’ baru-baru ini apabila timbul kemelut tentang penganjuran LTdL 2022. Boleh Datuk jelaskan tentang kemelut itu?

ABU SAMAH: Kemelut berkaitan LTdL 2022 boleh diatasi sekiranya semua pihak sanggup melupakan ego masing-masing demi nama baik Malaysia. Perlu diingatkan sejarah Le Tour de Langkawi bermula sejak 1996. Bermakna penganjuran kejohanan ini sudah berusia hampir 26 tahun. Kita mungkin tak boleh nak lawan penganjuran Tour de France yang sudahpun melepasi angka 100 tahun. Namun, Le Tour de Langkawi ialah sebuah kejohanan yang sangat berprestij di Asia. Dulu, nama-nama besar seperti Andrea Tafi, Paolo Lanfranci, Paolo Bettini, Graeme Brown, Andrea Guardini, Floyd Landis dan Chris Horner, datang berlumba di Malaysia.

LTdL ialah sebuah sejarah penganjuran yang sangat unik dan hampir semua pasukan ternama seperti Mapei serta Astana sentiasa pandang tinggi kepada kita. LTdL dinaikkan taraf kepada Hors Classe dan sekarang berstatus Pro Series. Pasukan-pasukan ternama di Asia sentiasa menunggu penganjuran LTdL. Ia menjadi medan ujian untuk pasukan kebangsaan Malaysia. Pasukan continental (benua) seperti TSG (Terengganu Cycling Team) dan Sapura (Sapura Cycling Team) turut nikmati faedah daripada LTdL.

Artikel Berkaitan:

Apabila ia bermasalah pada 2007, PKBM tampil untuk membantu dan menyelamatkan LTdL. PKBM berusaha keras untuk memastikan LTdL kekal menjadi sebuah kejohanan yang di pandang tinggi di dunia. Ia juga menjadi medan ujian pramusim untuk pasukan Eropah sebelum musim sebenar bermula.

Jadi apabila LTdL 2022 bermasalah sedangkan tarikh asal yang didaftarkan dengan UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) sudah kian suntuk, kami selaku pemilik LTdL terpaksa minta bantuan Datuk Seri Ahmad Faizal. Ramai yang terlupa dan menyangka KBS (Kementerian Belia dan Sukan) ialah pemilik LTdL. KBS sebenarnya penyalur dana kepada LTdL. Human Voyage Sdn Bhd pula penganjur LTdL 2022.

ADAKAH dengan cara meminta menteri campur tangan itu kaedah terbaik untuk menyelamatkan LTdL 2022?

PERLU diingatkan kerajaan tidak boleh mencampuri urusan atau memberi arahan kepada mana-mana badan sukan. Dalam sukan bola sepak misalnya, ada negara yang digantung keahlian oleh FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) kerana mencampuri urusan ahli badan induk tersebut. Bagaimanapun, menteri tidak mencampuri PKBM. PKBM meminta menteri menjadi ‘orang tengah’ bagi menyelesaikan kemelut ini.

Menteri berkuasa penuh kepada KBS. Saya difahamkan ada kontrak yang sah antara KBS dan Human Voyage. KBS menyalurkan dana jutaan ringgit kepada Human Voyage pada 2019 dan 2020 bagi memastikan penganjuran LTdL berjalan lancar. Justeru, apabila tarikh penganjuran LTdL 2022 semakin hampir, dan PKBM tidak menerima sebarang isyarat jelas daripada KBS, kami terpaksa menarik hand brake.

PKBM berpendapat menteri ialah individu yang paling layak untuk menyelesaikan kemelut ini. PKBM agak terkejut apabila dimaklumkan Human Voyage telah berhubung dengan beberapa pasukan kononnya tarikh penganjuran LTdL 2022 telah diubah daripada Mac kepada Julai. Walhal PKBM ialah pemilik LTdL. Saya terima e-mel daripada UCI menyatakan semua urusan pendaftaran ataupun pertukaran tarikh penganjuran LTdL 2022 mestilah melibatkan PKBM.

Dalam keadaan yang sangat suntuk, kami merasakan perlu ada ‘satu tangan’ bertindak menyelamatkan LTdL 2022. ‘Tangan’ itu wajib memiliki kuasa untuk memberi arahan kepada KBS dan Human Voyage. Kuasa tersebut jelas ada pada menteri.

JADI bagaimanakah status penganjuran LTdL 2022 sekarang?

PERTEMUAN dengan menteri telah menghasilkan beberapa keputusan yang positif. Menteri sendiri telah memberi jaminan LTdL 2022 tetap akan diadakan. Itu jaminan menteri. PKBM puas hati dengan jaminan menteri. Buat masa ini, kami sedang membuat deraf perjanjian rasmi untuk ditandatangani antara PKBM selaku pemilik LTdL dan Human Voyage sebagai penganjur LTdL 2022.

Deraf tersebut sudahpun memasuki fasa terakhir. Barisan peguam PKBM bekerja keras untuk menyemak setiap aspek supaya kami tidak dipersalahkan atau perlu menanggung beban hutang sekiranya ada. Perlu diingatkan UCI hanya akan mengenakan tindakan termasuk sanction kepada pemilik berdaftar LTdL, bukannya penganjur LTdL 2022. PKBM akan menyerahkan deraf perjanjian tersebut kepada menteri untuk semakan dalam tempoh terdekat. Satu perjanjian antara PKBM dan Human Voyage akan ditandatangani di hadapan menteri jika semuanya berjalan lancar.

ADAKAH PKBM percaya segalanya akan selesai dalam beberapa bulan lagi. Maksud saya berkaitan LTdL 2022 tetap diadakan?

SAYA sentiasa positif dalam semua aspek. Pertemuan dengan menteri telah memberi satu perspektif menarik tentang ketegasan dan imej Datuk Seri Ahmad Faizal. Saya dapati beliau sangat berkarisma dan berjaya menyelesaikan kemelut ini menerusi satu pertemuan pada 26 Januari yang lalu. Beliau telah mendengar penjelasan semua pihak. Kemudian beliau telah memberi satu solusi yang diterima dengan baik oleh semua pihak.

ADAKAH Datuk juga yakin LTdL akan kekal menjadi sebuah kejohanan sukan berbasikal berprestij di dunia khususnya di Asia?

KETIKA ini, apabila disebut Tour of Langkawi, masih banyak pasukan ternama di Eropah bersedia untuk menyertai kejohanan ini. Nama Tour of Langkawi sudah terkenal di seluruh dunia. Kami difahamkan setiap kali perlumbaan Tour of Langkawi disiarkan di Eropah termasuk Eurosport, ratingnya sangat tinggi. Dengan cara itu, sukan ini berjaya mempopularkan nama Malaysia sebagai salah satu destinasi pelaburan dan pelancongan terbaik di Asia. Jadi saya yakin jenama ini iaitu Tour of Langkawi ataupun LTdL akan kekal menjadi kejohanan ternama di dunia khususnya di Asia.

SEBENTAR tadi Datuk ada menyebut tentang pasukan lebuh raya kebangsaan dan pasukan benua tempatan meraih faedah daripada penganjuran LTdL. Malangnya, pasukan kebangsaan Malaysia sukar untuk meraih pingat emas pada temasya Sukan SEA. Apa komen Datuk?

SAYA harus akui hakikat ini. Kali terakhir pasukan kebangsaan meraih pingat emas menerusi acara lepas beramai-ramai atau kriterium ialah pada Sukan SEA 2015 di Singapura. Waktu kita jadi penganjur pada Sukan SEA 2017 pun pingat emas dimenangi Thailand. Selepas itu, kita gagal lagi pada Sukan SEA 2019. Untuk Sukan SEA 2021 yang ditunda dan akan diadakan pada Mei depan, PKBM merancang untuk merayu kepada MOM (Majlis Olimpik Malaysia). Khabarnya syarat penyertaan telahpun diketatkan.

PKBM merancang akan merayu dan meminta MOM membenarkan pasukan lebuh raya kebangsaan menyertai acara lepas beramai-ramai di Hanoi, Vietnam nanti. Kita ada pelumba pasukan benua yang ternama daripada TSG dan Sapura. Ada juga seorang dua pasukan kebangsaan yang boleh diselitkan untuk bergandingan dengan pelumba pasukan benua.

PKBM akan terus pantau situasi ini. Sebagai permulaan, PKBM akan menghantar permohonan kepada MOM dengan justifikasi yang mantap. Sebagai Presiden PKBM, saya sentiasa positif kepada masa depan acara lebuh raya.

ACARA trek nampaknya lebih berjaya daripada lebuh raya. Adakah PKBM masih yakin kepada keupayaan Datuk Azizulhasni Awang?

SIR Chris Hoy berusia 36 tahun waktu beliau meraih pingat emas terakhirnya pada Sukan Olimpik. Usia Azizulhasni tidak banyak berbeza dengan Chris Hoy apabila beliau menyertai Sukan Olimpik 2024 di Paris. Sewaktu pulang dari Tokyo, Azizulhasni telah memberi pengakuan bahawa beliau masih berminat dan bercita-cita untuk meraih pingat emas menerusi acara keirin ataupun pecut.

Saya masih percaya keirin ialah acara kegemaran Azizulhasni. Secara peribadi, saya telah mengikuti perkembangan Azizulhasni sejak 2006 lagi. Saya dapati beliau mempunyai kekuatan mental yang sangat luar biasa. Beliau juga berjaya mengekalkan prestasinya secara konsisten. Saya yakin beliau mampu merakam sejarah unik dengan meraih pingat Sukan Olimpik 2024 Paris.

APAKAH persediaan PKBM dalam mencari pengganti Azizulhasni?

PKBM melihat pada Kejohanan Trek Kebangsaan 2021 yang diadakan di Velodrom Kebangsaan Nilai. Semua nama yang patut menang seperti Mohd Shah Firdaus (Sahrom) dan Mohd Fadhil (Mohd Zonis) telah menepati sasaran. Bagaimanapun, PKBM tetap tidak berpuas hati dengan prestasi mereka.

Apa yang harus kita akui ialah tugas untuk mencari pengganti Azizulhasni memang sukar untuk dilaksanakan. Bagaimanapun, saya percaya Shah Firdaus dan Fadhil ada keupayaan tersendiri untuk menjadi pelumba kelas dunia. Dua pelumba itu wajib menuntut ilmu daripada Azizulhasni. Belajar cara mengatasi tekanan dan mengekalkan prestasi secara konsisten.

AKHIR sekali, ini soalan cepu emas untuk Datuk? Tahun ini ialah penggal terakhir untuk Datuk? Adakah Datuk akan bersara selepas tamat penggal ini?

SALAH satu intipati teks ucapan saya pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PKBM yang diadakan di Melaka pada Disember lalu ialah minta ahli gabungan cari calon Presiden PKBM pengganti saya. Jadi, saya serahkan kepada ahli gabungan untuk memilih calon Presiden PKBM yang baharu bagi penggal 2022 hingga 2026.