Sila log masuk terlebih dahulu.

SOP PRN Johor dilonggarkan: Khairy

Khairy Jamaluddin (tengah) pada majlis pemeteraian kerjasama promosi di antara Wellness Hub Kementerian Kesihatan dan rakan strategik di Wellness Hub Bagan Pinang, Port Dickson, pada Sabtu.
Khairy Jamaluddin (tengah) pada majlis pemeteraian kerjasama promosi di antara Wellness Hub Kementerian Kesihatan dan rakan strategik di Wellness Hub Bagan Pinang, Port Dickson, pada Sabtu.
A
A
A

PORT DICKSON - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memberikan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berbanding SOP sewaktu PRN Melaka dan Sarawak.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kelonggaran itu mengambil kira tiada wujudnya kluster dalam dua PRN berkenaan namun perincian berhubung SOP itu akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum penamaan calon.

"Tidak ada kluster Covid-19 dikesan ketika PRN Melaka dan Sarawak sebelum ini dan dari segi kesihatan awam kita sudah berjaya menyekat penularan wabak tersebut.

"Sekarang ini kita benarkan PRN sewaktu gelombang Omicron tetapi Kementerian Kesihatan juga telah buat kajian dari segi kesan Omicron terhadap kesihatan awam iaitu dari segi liputan vaksinasi kita," katanya dalam sidang media akhbar selepas selesai Majlis Pemeteraian Kerjasama Promosi Kesihatan antara Wellness Hub KKM dan rakan strategik di sini pada Sabtu.

SPR menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor manakala tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Februari ini dan pengundian awal pada 8 Mac.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, melihat akan perkara ini maka pihaknya masih lagi yakin bahawa PRN boleh dilaksanakan, namun sekali lagi terpulang kepada pematuhan (terhadap SOP) daripada orang ramai termasuk pemimpin politik lain.

"Kita dah ada dua pilihan raya sebelum ini tidak ada peningkatan kes. Sekarang ini akan berlaku peningkatan kes disebabkan negara sedang mengalami gelombang Omicron tetapi bezanya seperti saya sebut tadi saya mengharapkan kes tidak bergejala teruk dan boleh diteruskan dengan mengadakan pilihan raya.

"SOP (PRN Johor) masih agak ketat, tetapi bukan macam sebelum pendemik, ada perkara KKM tidak benarkan tetapi ada perkara yang kita benarkan namun berbeza daripada PRN Melaka dan Sarawak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam perkembangan lain beliau berkata, KKM masih mengekalkan sela masa selama lapan minggu antara dos pertama dan kedua vaksinasi kanak-kanak.

“Keberkesanan vaksin ini tidak ada apa-apa penurunan sekiranya dapat menjarakkan masa kepada lapan minggu namun kedudukan atau pendirian jawatankuasa kumpulan kerja teknikal berhubung sela masa vaksin ini boleh disemak dari semasa ke semasa," katanya.

Mengulas mengenai permintaan kumpulan pegawai perubatan kontrak berhubung peruntukan jawatan tetap disertakan dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khairy berkata, buat masa ini pihaknya menawarkan skim berpencen kepada mereka berbanding KWSP.

"Ia melibatkan 4,186 jawatan tetap tambahan yang akan diwujudkan di KKM menjelang Jun ini, mungkin pengambilan baharu (kakitangan) pada masa akan datang kita tawarkan KWSP," katanya.

Pada Sabtu, kumpulan pegawai perubatan kontrak berharap peruntukan perjawatan tetap dijanjikan kerajaan bermula Jun ini akan menjadi kenyataan selain disertakan dengan caruman KWSP.

Perkara itu disuarakan oleh Jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr. Mustapha Kamal A Aziz yang mana caruman KWSP antara permintaan dalam memorandum Hartal Doktor Kontrak.