4,186 jawatan tetap di KKM

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A
PUTRAJAYA- [DIKEMASKINI] Jemaah menteri bersetuju supaya 4,186 jawatan tetap tambahan diwujudkan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2022.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, jumlah itu bagi tujuan melantik seramai 3,586 pegawai perubatan, 300 pegawai pergigian dan 300 pegawai farmasi.

"Lantikan bagi perjawatan tetap tambahan ini akan dibuat bermula pada bulan Jun depan," katanya dalam sidang akhbar di kementeriannya pada Khamis.

Menurutnya, iklan perjawatan itu akan dibuat KKM secara terbuka pada Februari ini.

"Jawatan ini adalah terbuka kepada mereka yang tamat siswazah, berdaftar penuh dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMA) tiada kes tatatertib dan disahkan sihat," katanya.

Beliau berkata, jawatan itu merupakan tawaran baharu kepada doktor junior agar mereka bersaing untuk mendapatkan jawatan tetap secara saksama.

"Mereka (calon) akan melalui tapisan awal dengan temu duga dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan proses ini akan dibuat secara telus serta adil tanpa pilih kasih," katanya.

Khairy berkata, jemaah menteri juga telah bersetuju agar sekurang-kurangnya 1,500 jawatan tetap pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi diwujudkan di KKM pada setiap tahun mulai tahun 2023 hingga 2025.

"Selain itu, jemaah menteri juga telah bersetuju supaya 800 jawatan tetap pakar perubatan dan 70 pakar pergigian diwujudkan di KKM pada setiap tahun mulai tahun 2023 bagi menampung keluaran pakar perubatan tetap," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, jemaah menteri juga telah bersetuju dengan pelan hala tuju yang sedang dibangunkan KKM bersama agensi dan kementerian berkaitan bagi mencari penyelesaian jangka masa pendek, sederhana dan panjang dalam kemelut berhubung pegawai lantikan kontrak ini.

"Antara kandungan dalam pelan hala tuju ini termasuklah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Sarjana Muda Perubatan (SMP) dan Sarjana Muda Pembedahan Pergigian (SMPP) bagi mengoptimumkan kapasiti penawaran program dan mengawal kualiti graduan, menilai serta mengemas kini senarai Jadual Kedua Akta Perubatan 1971, melaksanakan Peperiksaan Kelayakan Profesional bagi menangani isu kualiti dan kompetensi graduan," katanya.

Beliau berkata, maklumat lanjut berkenaan pelan hala tuju ini sedang diperhalusi dan akan dimuktamadkan.

"Kita telah usahakan secara bersungguh-sungguh di peringkat KKM dan saya maklumkan kepada jemaah menteri bahawa ini bukan soal doktor kontrak semata-mata tetapi keperluan kementerian.

"Kita perlukan lebih ramai pakar dan doktor. Sekiranya kita tidak bagi security of tenure, mereka akan tinggalkan perkhidmatan," katanya.

Tambahnya, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri menyokong saranan KKM dan telah luluskan permohonan tersebut.

"Ini termasuklah peruntukan tambahan diberi oleh Kementerian Kewangan yang menyokong usaha KKM untuk menambah bilangan doktor tetap," katanya.