Chap Goh Mei: Hanya mercun 'Pop Pop', 'Happy Boom' dibenarkan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) melarang orang ramai daripada bermain mercun mengandungi kandungan bahan bakar berbahaya sempena sambutan perayaan Chap Goh Mei pada 15 Februari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, larangan bermain, menjual dan membeli mercun berkuat kuasa pada semua sambutan perayaan termasuk Tahun Baharu Cina lalu.

"Hanya bunga api jenis Pop-pop dan Happy Boom yang dibenarkan kerana tidak mengandungi bahan bakar yang boleh membahayakan keselamatan.

"Penjualan kedua-dua jenis mercun ini masih memerlukan permit dari ibu pejabat polis daerah (IPD) berkaitan dan mengikut spesifikasi seperti yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, sesiapa yang menjual mercun tanpa permit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 dan 8 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 (Akta 207) yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

"Bermain atau membakar mercun atau bunga api yang terlarang juga boleh dihukum penjara tidak lebih sebulan atau denda sehingga RM100 atau kedua-dua sekali," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya mematuhi undang-undang dan tidak bermain mercun untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Artikel Berkaitan: