530 kanak-kanak di Pulau Pinang sudah divaksin

KKM mengumumkan Pihak Berkuasa Ubat-ubatan (DCA) meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun. - Gambar hiasan
KKM mengumumkan Pihak Berkuasa Ubat-ubatan (DCA) meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun. - Gambar hiasan
A
A
A
GEORGETOWN- Seramai 530 kanak-kanak berusia lingkungan lima hingga 11 tahun di Pulau Pinang telah mendapatkan suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) yang bermula Isnin lalu.

Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan, Dr Norlela Ariffin berkata, jumlah itu adalah 430 kanak-kanak di bahagian pulau manakala 100 di bahagian seberang.

Menurutnya, data itu diambil dari dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) iaitu di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Hospital Seberang Jaya (HSJ).

"Sejak pemberian vaksin kanak-kanak menerusi PICKids dijalankan bermula 7 Februari lalu, sehingga semalam (Jumaat), seramai 530 kanak-kanak telah disuntik iaitu 430 orang di bahagian pulau dan selebihnya di seberang.

"Kita akan membuka sebuah pusat pemberian vaksin khas (SPPV) untuk kanak-kanak di Hospital Bukit Mertajam bermula Selasa minggu depan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, seramai 40,000 daripada 160,000 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Pulau Pinang sudah berdaftar untuk divaksinasi.

Bagi permulaan suntikan vaksin yang bermula pada 7 Februari lalu, ia hanya melibatkan kanak-kanak yang mempunyai komorbid atau tergolong dalam kalangan yang berisiko tinggi.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan Pihak Berkuasa Ubat-ubatan (DCA) meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, KKM pada ketika ini sedang mengadakan perbincangan dengan pihak pengeluar vaksin itu berhubung jadual penghantaran.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Norlela berkata, kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menghadapi cabaran untuk memberi keyakinan kepada ibu bapa agar membenarkan anak mereka disuntik.

"Kita masih ada cabaran dari segi mendapatkan keyakinan ibu bapa untuk membenarkan anak mereka menerima suntikan. Saya akan buat sesi libat urus secara dalam talian bersama pentadbir kesihatan, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, JKNPP dan 200 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah rendah di seluruh negeri ini.

"Ia akan diadakan pada jam 3 petang, 18 Februari ini untuk memberi keyakinan kepada ibu bapa mengenai suntikan vaksin terhadap kanak-kanak berusia lingkungan lima hingga 11 tahun," katanya.

Sementara itu, Norlela berkata, sehingga Jumaat, terdapat 24 kluster aktif dikesan di Pulau Pinang.

"Ia melibatkan lima pada sektor perkilangan; lima di tempat kerja, 12 di institusi pendidikan serta satu masing-masing di kumpulan berisiko tinggi dan pusat tahanan.

"Dua kluster baharu juga dikesan iaitu kluster Kampung Permatang Haji Hassan (Kolej Matrikulasi Pulau Pinang) di Seberang Perai Utara dan kluster Tingkat Kampung Bukit (Asrama pekerja kilang Renesas Semikonduktor Msia Sdn Bhd) di Barat Daya," katanya.