Sijil vaksin palsu: Tiada laporan penjawat awam terlibat

Dr Siti Mariah
Dr Siti Mariah
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada sebarang laporan mengenai penjualan sijil vaksin palsu membabitkan penjawat awam di Selangor setakat ini, kata Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud.

Namun beliau berkata, perkara itu akan dirujuk kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) untuk mendapatkan laporan lengkap dalam tempoh terdekat.

"Saya tak mahu bagi kenyataan yang saya tak tahu latar belakang, nanti benda itu tak ada tetapi diheboh-hebohkan pula jadi macam ada.

"Setakat ini saya tak dengar lagi ia berlaku (melibatkan penjawat awam khususnya kakitangan perubatan) di Selangor.

"Namun, saya akan rujuk dengan JKNS kerana pengamal perubatan di bawah bidang kuasa mereka," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Jumaat.

Pada Selasa, kerajaan Selangor menyarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyenarai hitam pengamal perubatan yang terlibat penjualan sijil vaksin palsu.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata demikian sebagai mengulas pendedahan lebih 5,000 sijil digital vaksinasi dikeluarkan oleh klinik di Gombak kepada individu yang tidak diberikan suntikan vaksin Covid-19.

Amirudin berkata, pihaknya sedang menyemak senarai nama individu terlibat dan modus operandi yang digunakan sebelum tindakan lanjut diambil.

Artikel Berkaitan:

"Agak malang kes ini berlaku Selangor. Walaupun kes ini bermula di Terengganu namun menerusi komputer riba yang dirampas mendapati ada ribuan kes berurusan di Selangor.

"Pihak kita sedang mengenal pasti adakah mereka mengambil vaksin atau sekadar mengemas kini MySejahtera tanpa menyuntik vaksin, katanya.

Kesemua yang terlibat kini sedang disiasat dan akan didakwa ke mahkamah atas pelbagai kesalahan termasuk menipu dan berkomplot menyebar penyakit berjangkit dalam negara.

Justeru, Amirudin menasihatkan rakyat Malaysia khususnya penduduk di Selangor tidak terpengaruh dengan sindiket penipuan penjualan sijil vaksin tersebut.