Polis cari Mohammad Hazuarie bantu siasatan kes rogol

Mohammad Hazuarie dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes rogol melibatkan seorang gadis bawah umur.
Mohammad Hazuarie dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes rogol melibatkan seorang gadis bawah umur.
A
A
A

KEMAMAN - Polis sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Mohammad Hazuarie Hassan bagi membantu siasatan kes rogol melibatkan seorang gadis bawah umur di daerah ini pada tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, ia susulan laporan dibuat mangsa berusia 15 tahun yang mendakwa dirogol seorang lelaki sehingga mengandung dan melahirkan anak.

Menurutnya, polis sudah berusaha menjejaki lelaki berusia 20 tahun itu di rumahnya di Bandar Seri Bandi, namun gagal kerana disyaki sudah melarikan diri ke bahagian utara Terengganu.

"Oleh itu kita minta kerjasama individu ini untuk tampil menyerah diri bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya di sini pada Jumaat.

Hanyan turut berharap orang ramai yang mengenali dan mempunyai maklumat berkaitan Mohammad Hazuarie agar menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Afif Mohd Amin di talian 012-6380342.

"Maklumat juga boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan seorang bayi yang baru dilahirkan ditemui meninggal dunia dengan kesan tikaman dipercayai dibunuh ibunya sendiri dalam satu kejadian di sebuah rumah di daerah ini di sini.

Bayi lelaki yang cukup sifat itu dipercayai ditikam di bahagian dada kiri dengan objek tajam oleh suspek berusia 15 tahun yang merupakan mangsa rogol.

Artikel Berkaitan: